







bangunan
warisan
100%








Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar



Telaga Undang ialah rumah atau tempat bagi Dato’-dato’ Lembaga, Waris-waris Negeri dan Ibu Soko Waris di-Darat (Waris Klana di-Hulu dan Waris Klana di-Hilir) berunding mengenai adat dan agama di Luak Sungei Ujong. Telaga Undang hendaklah ditempatkan di salah sebuah rumah Ibu Soko Kanan Waris Klana di-Hulu.
Tempat persidangan bagi Luak Sungei Ujong terletak di Kampung Telaga Undang, Batu 9 Pantai, Seremban. Ketika ini terdapat empat rumah milik Ibu Soko Waris Klana di-Hulu di kampung itu yang berhak menempatkan Telaga Undang.
Ia boleh berpindah antara empat rumah milik Ibu Soko Waris Klana di-Hulu itu mengikut keadaan dan kesesuaian waktu. Keempat-empat rumah ini juga mempunyai telaga mata air tidak pernah kering sehingga hari ini.
Kenapa dipanggil Telaga Undang? Perkataan ‘Telaga’ diguna kerana telaga berisi air jernih. Justeru sebagai perlambangan, di Telaga Undang kekusutan adat dan agama diselesai dan menjadi jernih seperti air telaga.
Telaga juga antara elemen penting dalam tamadun. Telaga adalah punca air yang menjadi sumber kekuatan makhluk ciptaan Allah SWT untuk beribadah menyembahnya.
Institusi Telaga Undang wujud pada zaman pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor bin YM Dato’ Menteri Kassim untuk menyelesaikan sebarang kekusutan pentadbiran negeri, adat dan agama di Luak Sungei Ujong.
Pada 10 Mei 1902, satu perjanjian antara YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor bin YM Dato Menteri Kassim dan semua Dato’-dato’ Lembaga bahawa hanya Ibu Soko daripada Waris Klana di-Hulu diberi mandat mentadbir Telaga Undang.
Justifikasinya, pusaka Dato’ Klana Petra mula-mula sekali disandang Dato’ Klana Petra Bador daripada Waris Klana di-Hulu.
Mengikut perjanjian, Ibu Soko Waris Klana di-Hulu yang mentadbir Telaga Undang hendaklah diberi elaun atau ‘pemakanan’ sebanyak $251 Straits Dollar.
Secara tidak langsung, perjanjian itu mewujudkan pusaka (perjawatan) YM Telaga Undang, khusus untuk Ibu Soko Klana di-Hulu. Pusaka YM Telaga Undang tiada pemilihan atau lantikan, sebaliknya penyandang ditentukan selepas rundingan sesama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu yang kanan.
YM Telaga Undang berperanan sebagai penimbang tara, di mana YM Dato’ Andulika Mandalika boleh merujuk kepadanya. Apa-apa keputusan persidangan Telaga Undang disah atau dibatal YM Dato’ Andulika Mandulika sebagai Tua Lembaga.
Selepas itu, keputusan persidangan di Telaga Undang dipersembah ke bawah kaus YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong di Balai Undang untuk penghukuman.
Ia selaras dengan perbilangan:
“Sah batal pada Dato’ Nika (Andulika Mandulika), hidup mati pada Dato’ Klana Petra.”
Pada zaman moden, fungsi Telaga Undang sama seperti badan perundangan (legislative) sesebuah negara. Dato’-Dato’ Lembaga Waris di-Darat, Waris Negeri dan Ibu Soko bersidang dan berbahas usul yang dibawa ke Telaga Undang.
Sebelum Balai Undang diwujudkan kerajaan negeri untuk dijadikan kediaman rasmi YTM Dato’ Klana Petra, Dato’-Dato’ Lembaga dan Tua-tua Waris serta Ibu-ibu Soko akan mengadap YTM Dato’ Klana Petra di Telaga Undang pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan Hari Raya Aidiladha pertama.
Pada hari berkenaan, di pangkal serambi rumah Ibu Soko Telaga Undang itu dipasang tabir langit-langit, sampaian, peterana tiga tingkat dan gunung berangkat dengan silang gunting.
Di pekarangan rumah Telaga Undang diadakan tonggol, ular-ular, panji-panji, payung kebesaran, tombak, pedang, keris panjang dan keris pendek ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Setelah YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor berpindah ke Balai Undang di Ampangan, adat istiadat pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan Hari Raya Aidiladha pertama di Telaga Undang masih diteruskan.
Pada setiap hari pertama perayaan itu, Dato’-dato’ Lembaga Luak Sungei Ujong datang bersidang di Telaga Undang. Sebelum persidangan, kesemua Dato’-dato’ Lembaga dan kesemua dato’-dato’ lain akan bertemu dan bersalaman dengan YM Ibu Soko Telaga Undang untuk perkenan memulakan persidangan adat istiadat.
Pada Aidilfitri kedua dan Aidiladha kedua, barulah berlangsung adat istiadat menjunjung kasih Ke Bawah Kaus YTM Dato’ Klana Petra di Balai Undang.
Bagaimanapun, sebelum setiap istiadat di Balai Undang berjalan, YM Telaga Undang terlebih dahulu perlu dijemput mengikut istiadat dengan bertepak sirih.
Nota 1: Telaga Undang juga salah satu tempat berlangsungnya istiadat kerjan YTM Dato’ Klana Petra sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
Nota 2: Antara alat kebesaran di Balai Undang terdapat empat meriam besar manakala Telaga Undang diperuntukkan dua meriam besar. Selain itu Balai Undang mempunyai enam meriam lela manakala Telaga Undang diletakkan tiga meriam lela.
Nota 3: Pada 2008, YM Ibu Soko Telaga Undang Rahimah binti YM Dato’ Amar Setia Alwi menyatakan setiap pelantikan pembesar adat di bawah Dato’ Lembaga hanya sampai ke Telaga Undang atau kepada Dato’ Lembaga yang berkenaan sahaja.
Nota 4: Pelantikan juak-juak hulubalang yang senjata kebesarannya bersemayam di Telaga Undang hanya sampai ke peringkat Telaga Undang sahaja.
Nota 5: Separuh senjata-senjata yang bersemayam di Telaga Undang itu melambangkan atau mewakili juak hulubalang di bawah YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu Luak Sungei Ujong.
Nota 6: Pusaka YM Telaga Undang ialah hak Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu. Lantaran tiada pemilihan atau lantikan pusaka itu, maka YTM Dato’ Undang Sungei Ujong tidak boleh memecat YM Telaga Undang.
Sumber:
1) JSBRAS Vol 28, Aturan Sungei Ujong oleh RN Bland, 1895
2) JSBRAS Vol 28, Adat Sungei Ujong, 1895
3) JSBRAS Vol 83, Sungai Ujong oleh RJ Wilkinson, 1921
4) JMBRAS Vol 22, Sungei Ujong oleh JM Gullick, 1949
5) Bustamam Ahmad. Telaga Undang untuk selesai masalah adat. Berita Harian, 5 Mac 1988
6) Temu bual YM Telaga Undang Rahimah binti YM Dato’ Amar Setia Alwi, 2008
7) Temu bual YM Dato’ Andulika Mendulika Tua Lembaga Waris di-Darat Sungei Ujong, Jun 2022
8) Temu bual YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu, Mei 2022.
Hak Cipta © 2023 Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.