Tanggal 12 Julai 2025 menyaksikan berlangsungnya istiadat kerjan atau pertabalan YM Dato’ Batin Sungei Ujong baharu. Disandang oleh Tijak bin Acop, beliau terdahulu menggalas tugas selaku YM Dato’ Jenang aluan sembah kepada YM Dato’ Batin Sungei Ujong Yusof Man yang meninggal dunia.
Istiadat dijalankan di kediaman YM Dato’ Batin Sungei Ujong di Jeram Kedah, Ulu Beranang. Majlis disaksikan YM Ibu Soko Waris Klana Perut Hulu Luak Sungei Ujong, YM Dato’ Penghulu Dagang Lembaga Lingkungan Lenggeng, YM To’ Setia Menanti Buapak Lingkungan Ulu Beranang, YM Dato’ Batin Orang Asal Negeri Melaka dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan-Melaka.
Turut hadir menyerikan majlis istiadat wakil-wakil JAKOA, wakil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, wakil masyarakat Tionghoa Ulu Beranang dan Broga dan penduduk setempat serta pelancong dari luar negara.
Ia bermula dengan pemakaian tanjak dan menyisipkan keris pusaka pada batang tubuh YM Dato’ Batin Sungei Ujong oleh ibu soko Orang Asal disusuli dengan istiadat bersiram. Turut menjalani istiadat bersiram ialah YM Dato’ Jenang baharu dan YM To’-To’ Panglima Orang Asal baharu.
Kemudian YM Dato’ Batin Sungei Ujong diiringi YM Dato’ Jenang, YM Dato’ Cekerah, YM Dato’ Penghulu Balai, YM Dato’ Parang Tajam dan YM To’-To’ Panglima beserta ibu soko-ibu soko duduk di peterana gunung berangkat yang siap dihiasi motif tumbuhan dalam ruang mengadap.
Istiadat diteruskan dengan setiap pembesar adat Orang Asal Sungei Ujong dimulai YM Dato’ Jenang bersalaman dengan semua pembesar-pembesar dan tetamu kenamaan yang ada dalam ruang mengadap dengan penuh tertib dan adab kesopanan tinggi.
Ia diikuti dengan istiadat menyembah sebanyak empat kali dan menjunjung YM Dato’ Batin Sungei Ujong. Istiadat penting ini diketuai YM Dato’ Jenang dan pembesar-pembesar Orang Asal Sungei Ujong.
Usai istiadat menyembah dan menjunjung, YM Dato’ Batin Sungei Ujong menyampaikan ucapan dan berterima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan majlis.
Selepas itu, YM Dato’ Penghulu Dagang menyampaikan ucapan tahniah mewakili orang Melayu khususnya Waris Anak-anak Dagang di Lenggeng, disusuli ucapan tahniah oleh Pengarah JAKOA Negeri Sembilan-Melaka. Acara diakhiri dengan jamuan makan beradat dan bergambar beramai-ramai.
YM Dato’ Batin Sungei Ujong memerintah semua Orang Asal dalam Sungei Ujong mengikut struktur pemerintahan adat zaman purbakala. Beliau dibantu YM Dato’ Jenang selaku haluan sembah dan YM Dato’ Cekerah serta YM Dato’ Penghulu Balai.
Barisan YM To’-To’ Panglima pula diketuai YM To’ Panglima Tua. Terdapat 32 YM To’ Panglima dalam pemerintahan YM Dato’ Batin Sungei Ujong ketika ini. Setiap YM To’ Panglima berkenaan mengawal lingkungan (kawasan/jajahan) yang terdapat penempatan Orang Asal bertebaran di kawasan bukit, hutan dan pantai meliputi seluruh daerah Seremban dan Port Dickson.
Sebarang permasalahan dalam lingkungan jika tidak dapat diselesaikan YM To’ Panglima yang dipertanggungjawabkan, YM To’ Panglima berkenaan boleh merujuk kepada YM Dato’ Cekerah untuk penyelesaian, sebelum dibawa kepada YM Dato’ Batin Sungei Ujong untuk penghukuman.
YM Dato’ Batin Sungei Ujong berperanan penting setiap kali berlakunya istiadat kerjan YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong. Menerusi istiadat berlangir, YM Dato’ Batin Sungei Ujong memandikan dan memakaikan tanjak di kepada YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.
YM Dato’ Batin Sungei Ujong juga menyambut YTM Dato’ Klana Petra semasa istiadat ziarah saudara dalam. Dua istiadat itu penting sebagai tanda mengingati hubungan persaudaraan rapat yang terjalin sejak ratusan tahun dahulu.
Mengikut sejarah, pusaka YM Dato’ Batin Sungei Ujong kesinambungan daripada leluhur Batin Seri Alam lebih 500 tahun lalu. Mengepalai masyarakat Orang Asal, YM Dato’ Batin Sungei Ujong ada pertalian persaudaraan rapat dengan Waris Negeri Sungei Ujong.
Hubungan persaudaraan bermula sekitar tahun 1630-an apabila Dato’ Bendahara Sekudai menikahi Dato’ Batin Sungei Ujong bernama Batin Sibu Jaya yang melahirkan Muhammad Tumbu atau Toh Kelambu, Toh Musang, Toh Semerga dan Toh Seri Menai.
Malah dua pemerintah era awal Sungei Ujong iaitu Dato’ Penghulu Menteri Toh Kelambu dan Dato’ Penghulu Menteri Toh Musang berkahwin dengan dua anak perempuan YM Dato’ Batin Sungei Ujong bernama Dato’ Batin Raja iaitu Toh Chumbu dan Toh Terumbu.
Daripada jurai keturunan merekalah lahirnya Waris Klana Perut Hulu dan Perut Hilir yang memerintah Luak Sungei Ujong dan bersama-sama memerintah Negeri Sembilan dengan YTM Dato’ Undang Jelebu, YTM Dato’ Undang Johol, YTM Dato’ Undang Rembau dan YTM Tunku Besar Tampin dan YAM Tuan Besar.
Nota 1: Pemilihan YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ditetapkan mengikut salasilah Waris Klana daripada YTM Dato’ Klana Petra Bador (keturunan Dato’ Penghulu Menteri Toh Kelambu dan anak perempuan Dato’ Batin Raja) dan bukan daripada salasilah Dato’ Batin Sungei Ujong
Nota 2: Dato’ Bendahara Sekudai ialah pemimpin penting Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang. Perkahwinan dengan Dato’ Batin Sibu Jaya mengukuhkan kedudukan Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang menghadapi ancaman Portugis di Melaka pada 1640-an.
Nota 3: Hubungan Waris Klana dan Dato’ Batin Sungei Ujong membuktikan keturunan YTM Dato’ Undang Luak Sungei Ujong daripada wangsa Bendahara dan Batin Orang Asal yang berbangsa Melayu dan bukan berketurunan Minangkabau.
Nota 4: Mengikut adat zaman purbakala Orang Asal, pusaka YM Dato’ Batin Sungei Ujong tidak boleh disandang waris Orang Asal beragama Islam, dipercayai kerana penyandang perlu mengamalkan ritual atau upacara keagamaan membabitkan unsur animisme dan penyembahan nenek moyang Orang Asal.
Sumber penceritaan:
1) JMBRAS Vol 22, Sungei Ujong oleh JM Gullick, 1949
2) JSBRAS Vol 83, Sungai Ujong oleh RJ Wilkinson, 1921
3) JRAI Vol 37, The Aborigines of Sungei Ujong oleh FW Knocker, 1907
4) JSBRAS Vol 28, Aturan Sungei Ujong oleh RN Bland, 1895
5) JSBRAS Vol 28, Adat Sungei Ujong, 1895
6) The Rulers of Malaysia, Tun Ahmad Sarji, Archipelago Press, 2011
7) Temu bual YM Dato’ Batin Sungei Ujong di Jeram Kedah, 2025