Pusaka perjawatan YM Dato’ Batin Sungei Ujong merupakan kesinambungan daripada batin-batin Sungei Ujong zaman purbakala, antaranya Batin Bercanggai Besi dan Batin Sibu Jaya yang cukup terkenal dalam sejarah Negeri Sembilan.
Berdasarkan hierarki pemerintahan Sungei Ujong, YM Dato’ Batin Sungei Ujong bernaung di bawah YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu. YM Dato’ Batin Sungei Ujong mengetuai masyarakat Orang Asli di seluruh Sungei Ujong.
Beliau mempunyai balainya sendiri dan terdapat lima pembesar di bawahnya iaitu:
i) To’ Jenang (aluan sembah)
ii) To’ Penghulu Balai
iii) To’ Singa
iv) To’ Pemangku
v) To’ Cekerah
Di bawah YM Dato’ Batin Sungei Ujong dan pembesar-pembesarnya, terdapat 32 panglima hulubalang dalam kalangan Orang Asli yang diketuai oleh YM To’ Panglima Tua.
Dato’ Batin Sungei Ujong menjadi penjaga dan penguasa Adat Purbakala dalam kalangan Orang Asli di Sungei Ujong. Semasa istiadat kerjan YTM Dato’ Klana Petra Undang Sungei Ujong, YM Dato’ Batin Sungei Ujong bertanggungjawab memandikan YTM Dato’ Klana Petra dalam Istiadat Berlangir.
YTM Dato’ Klana Petra juga perlu menziarahi YM Dato’ Batin Sungei Ujong dan pembesar-pembesar lain dalam masyarakat Orang Asli dalam Istiadat Saudara Dalam, sebagai tanda mengingati perhubungan Bendahara Kesultanan Johor-Pahang-Riau-Lingga, Bendahara Sekudai dengan Orang Asli. Pusat pentadbiran adat Orang Asli Sungei Ujong ini terletak di Kampung Jeram Kedah berdekatan Ulu Beranang, Lenggeng.
Bagi mempermudahkan pemerintahan dan hubungan antara masyarakat Orang Asli dengan Balai Undang Luak Sungei Ujong, satu pusaka perjawatan baharu diwujudkan iaitu YM Dato’ Batin Luar.
Sebagai Orang Besar kepada YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu, YM Dato’ Batin Luar menjadi perantara untuk berhubung dengan Orang Asli Sungei Ujong. Jika ada permasalahan, Dato’ Batin Sungei Ujong boleh berhubung terus dengan Dato’ Batin Luar untuk disampaikan terus kepada YM Dato’ Johan Tua Tahu.
Pusaka perjawatan ini tidak berketurunan sebaliknya ia merupakan lantikan daripada YM Dato’ Johan Tua Tahu dalam kalangan penduduk Kampung Ulu Beranang, Lenggeng. Pada masa sekarang, pusaka perjawatan YM Dato’ Batin Luar disandang oleh anak waris YM To’ Menteri Ulu Beranang.
Nota 1: YM Dato’ Batin Sungei Ujong dan pembesar-pembesarnya bersama YM Dato’ Batin Luar juga mempunyai kuasa-kuasa yang terangkum dalam sifat-sifat khusus pembesar-pembesar adat dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.
Nota 2: YM Dato’ Batin Luar turut bertanggungjawab ke atas anak-anak kariah dalam kalangan Orang Asli yang beragama Islam. Beliau mempunyai kuasa-kuasa tertentu dalam perkara suruhan agama Islam membabitkan Orang Asli Sungei Ujong.
Sumber penceritaan:
1. JSBRAS Vol 83, Sungai Ujong, R.J Wilkinson, 1921
2. JMBRAS Vol 22, Sungei Ujong, J.M Gullick, 1949
3. The Rulers of Malaysia, Tun Ahmad Sarji, Archipelago Press, 2011
4. YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu, Mac 2023