Chupak yang pěpat
Gantang yang piawai,
Bungkal yang betul
Těraju yang baik,
Tidak boleh di-paling lagi.

SISTEM PEMERINTAHAN SUNGEI UJONG

Paterana Kebawah Kaus YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Balai Istiadat dan Kediaman Kebawah Kaus YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Peterana Telaga Undang Luak Sungei Ujong.

Telaga Undang Luak Sungei Ujong, Pusat Adat Purbakala

Alat Kebesaran Telaga Undang Luak Sungei Ujong.

– MEngenali Dato Lembaga Waris –

YANG MULIA DATO JOHAN TUA TAHU & YANG MULIA DATO MAHARAJA LELA

Paterana YM Dato Johan Tua Tahu & Paterana YM Dato Maharaja Lela

Telapak Kediaman YM Dato Johan Tua Tahu

Telapak Kediaman YM Dato Maharaja Lela

YM Dato Johan Tua Tahu Wan Khairil Adli Bin Mohd Yusoff

YM Dato Johan Tua Tahu Ismail mengiringi YTM Dato Klana Petra Ma’amor Persidangan Durbar Raja-Raja Melayu 1897

YM Dato Maharaja Lela Abdul Mokti Bin Haji Abd Aziz

YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong mempunyai dua Lembaga Waris Klana atau Lembaga Waris Negeri yang bergelar YM Dato’ Johan Tua Tahu dan YM Dato’ Maharaja Lela.

YM Dato’ Johan Tua Tahu mengetuai Waris Klana di-Hulu manakala Waris Klana di-Hilir pula dikepalai YM Dato’ Maharaja Lela. Kedua-dua Dato’ Lembaga ini dikenali sebagai Lembaga Waris Klana Sungei Ujong atau Lembaga Waris Negeri.

Mengikut Adat Purbakala Luak Sungei Ujong, hanya Waris Klana di-Hulu dan Waris Klana di-Hilir yang diketuai dua Dato’ Lembaga Waris Negeri ini yang berhak menjadi YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Mereka adalah berketurunan Bendahara Kesultanan Melayu Johor-Pahang-Riau-Lingga yang jurai keturunannya bersambung hingga kepada Bendahara Kesultanan Melayu Melaka.

Kekuasaan (telapak) YM Dato’ Johan berpusat di Kampung Telaga Undang Batu 9 Pantai, Seremban manakala kekuasaan (telapak) YM Dato’ Maharaja Lela di Kampung Setul Pantai (Kampung Manggis) di Batu 8 Pantai, Seremban.

Lantaran jajahan Sungei Ujong sangat luas dan penduduknya ramai serta rata-ratanya sudah mengalami proses perbandaran sejak abad ke-19, kedua-dua Lembaga Waris Klana itu dipertanggungjawabkan mengawal dan menyelia jajahan bagi membantu pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra.

YM Dato’ Johan Tua Tahu bertanggungjawab mengawal dan menyelia jajahan Mendom, Lenggeng, Ulu Beranang, Nilai (sekitar Bandar Baru Nilai, Nilai 3 dan Taman Semarak) dan Lukut. Sementara itu, YM Dato’ Maharaja Lela pula bertanggungjawab ke atas kawasan Mantin, Pajam dan Batang Benar.

Untuk Seremban dan Port Dickson, kedua-dua kawasan ini dikawal secara bersama oleh YM Dato’ Johan Tua Tahu dan YM Dato’ Maharaja Lela. Pada zaman sebelum campur tangan Inggeris, kedua-dua Lembaga Waris Klana ini mengutip cukai di jajahan-jajahan berkenaan bagi pihak YTM Dato’ Klana Petra selain menjaga keselamatan dan ketenteraman awam serta pentadbiran negeri.

YM Dato’ Johan selaku Lembaga Waris Klana yang mengawal kawasan paling luas mempunyai dua Dato’ Lembaga Lingkungan dan lapan juak hulubalang bagi membantunya dan menjaga alat-alat kebesarannya sendiri.

Gelaran Dato’ Lembaga Lingkungan Dato’ Johan:
1) YM Dato’ Lela Perkasa Mendom
2) YM Dato’ Penghulu Dagang Lenggeng

Gelaran juak hulubalang Dato’ Johan:
1) To’ Imam Perang Kanan
2) To’ Panglima Cincang
3) To’ Panglima Besar
4) To’ Panglima Sutan
5) To’ Panglima Dalam
6) To’ Panglima Maharaja Gatoh
7) To’ Panglima di-Awan (Mawan)
8) To’ Panglima Lintah Jalang

Pentadbiran YM Dato’ Maharaja Lela di jajahan YTM Dato’ Klana Petra pula dibantu oleh Buapak Waris Klana di-Hilir bergelar YM Dato’ Lela Bangsa, seorang Dato’ Lembaga Lingkungan bergelar YM Dato’ Andatar Mantin dan seorang juak hulubalang iaitu YM To’ Panglima Jaya.

Nota 1: Kedua-dua Dato’ Lembaga Waris Klana ini berhak menerima tembakan meriam penghormatan (gun salute) sebanyak tiga das ketika acara adat istiadat.

Nota 2: Dalam keadaan tertentu misalnya apabila YTM Dato’ Klana Petra tiada di dalam negeri, YM Dato’ Johan Tua Tahu boleh menerima penghormatan, kebesaran dan kemuliaan YTM Dato’ Undang Luak Sungei Ujong.

Nota 3: Taraf kedua-dua Dato’ Lembaga Waris Klana ini sama seperti tengku bergelar di negeri-negeri Melayu lain (contoh; Tunku Bendahara Kedah, Tengku Laksamana Selangor, Tengku Panglima Johor dll.) kerana mereka berdua boleh menerima pangkat YTM Dato’ Klana Petra.

Nota 4: Pakaian kedua-dua Dato’ Lembaga Waris Klana ini adalah kuning diraja dan peterananya setinggi tiga tingkat. Anak-anak Waris dan rakyat Sungei Ujong harus menyembah apabila menghadap di telapak mereka berdua.

Nota 5: YM Dato’ Johan Tua Tahu pernah hadir mengiringi YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke persidangan Durbar pertama di Kuala Kangsar 1897 dan Durbar kedua pada 1903 di Kuala Lumpur.

Nota 6: Ketika ini, YM Dato’ Johan Tua Tahu dan YM Dato’ Maharaja Lela masih berkuasa dalam hal ehwal berkaitan agama Islam, adat Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu di jajahan-jajahan kawalan mereka. Pegawai agama Islam termasuk kadi masih perlu merujuk kepada mereka dalam perkara yang bersangkut paut dengan institusi agama Islam termasuk hal kariah masjid.

Sumber penceritaan daripada:
1) YM Dato’ Johan Tua Tahu di Pantai , 2022
2) YM Dato’ Maharaja Lela di Pantai, 2022
3) YM Dato’ Lela Bangsa di Pantai, 2022
4) JMBRAS, Sungei Ujong, JM Gullick, 1949
5) JMBRAS, Adat Sungei Ujong, 1895

Hak Cipta © Copyrights 2023. Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dchampion Creation | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong