Pusaka perjawatan YM Dato’ Amar Setia Anak Undang mula berada dalam rekod pentadbiran British semasa pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra Dato’ Ma’amor bin Dato’ Menteri Kassim (1889-1945).
Ketika itu, pusaka perjawatan ini disandang anak lelaki sulung YTM Dato’ Klana Petra Dato’ Ma’amor daripada isterinya berketurunan Melayu Sumatera iaitu YM Dato’ Amar Setia Alwi dan kemudian oleh YM Dato’ Amar Setia Asli.
YM Dato’ Amar Setia Anak Undang berperanan sebagai salah seorang Dato’ Lembaga Tiang Balai Undang Luak Sungei Ujong. Beliau akan menjaga kepentingan YTM Dato’ Klana Petra semasa Dato’-Dato’ Lembaga Tiang Balai bersidang dengan menjadi pemerhati.
Kedudukan itu diberi kepadanya lantaran dua Dato’ Lembaga Waris Klana tiada dalam sidang Dato’-Dato’ Lembaga Tiang Balai Undang yang dianggotai oleh YM Dato’ Andulika Mandulika, YM Dato’ Seri Maharaja Diraja dan Dato’ Akhirzaman Rantau.
Bagaimanapun, apabila seseorang YTM Dato’ Klana Petra mangkat, secara automatik YM Dato’ Amar Setia Anak Undang tidak lagi menjadi Dato’ Lembaga Tiang Balai. Kedudukannya akan diganti oleh salah seorang Dato’ Bergajah Tunggal (YM Dato’ Dagang Paroi atau YM Dato’ Muda Labu).
Selain itu, YM Dato’ Amar Setia Anak Undang juga berperanan menjadi utusan bapanya dan boleh menyampaikan perkara-perkara penting daripada YTM Dato’ Klana Petra semasa pembesar-pembesar, ibusoko-ibusoko dan anak-anak Waris di-Darat Sungei Ujong bersidang di Telaga Undang.
Nota 1: Dalam amalan pemerintahan Sungei Ujong, keputusan persidangan Dato’-Dato’ Lembaga Tiang Balai Undang akan dibawa ke Telaga Undang terlebih dahulu untuk dibahas dan dipersetujui sebelum dipersembahkan terhadap YTM Dato’ Klana Petra bagi mendapatkan perkenan.
Nota 2: Penyandang pusaka ketika ini, YM Dato’ Amar Setia Nazir adalah anakanda lelaki sulung kepada YTM Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Dohak.
Nota 3: YTM Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Dohak adalah cucu kepada YM Dato’ Amar Setia Alwi bin YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor, mengikut nasab ibunya.
Sumber penceritaan:
1. YM Dato’ Johan Lembaga Waris Klana di-Hulu, 2022
2. JMBRAS Vol 22, Sungei Ujong oleh J.M Gullick, 1949