Chupak yang pěpat
Gantang yang piawai,
Bungkal yang betul
Těraju yang baik,
Tidak boleh di-paling lagi.

SISTEM PEMERINTAHAN SUNGEI UJONG

Paterana Kebawah Kaus YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Balai Istiadat dan Kediaman Kebawah Kaus YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Peterana Telaga Undang Luak Sungei Ujong.

Telaga Undang Luak Sungei Ujong, Pusat Adat Purbakala

Alat Kebesaran Telaga Undang Luak Sungei Ujong.

YANG MULIA DATO ORANG KAYA LAKSAMANA raja laut

- MENTERI KEPADA UNDANG SUNGEI UJONG -

Luak Sungei Ujong

Yang Mulia Dato Orang Kaya Laksamana Raja Laut Shaharumzaman Bin Dato Lelabangsa Haji Abdul Malek 

Kedudukan YM Dato Orang Kaya Laksamana

Telapak YM Dato Orang Kaya Laksamana

Pusaka perjawatan ini diwujudkan pada awal abad ke-19 oleh YTM Dato’ Klana Petra Kawal dengan penyandang pertama ialah adiknya Dato’ Sendeng daripada Waris Klana di-Hulu Luak Sungei Ujong. YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut berperanan sebagai menteri kepada YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Sebelum itu, peranan menteri kepada YTM Dato’ Klana Petra dipikul YM Dato’ Andulika Mandulika yang pada masa sama menjadi Tua Lembaga Tiang Balai Undang dan Tua Lembaga Waris di-Darat Luak Sungei Ujong. YTM Dato’ Klana Petra Kawal memperkemaskan pentadbiran dengan mewujudkan pusaka YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut.

Langkah berkenaan menjadikan tugas YM Dato’ Andulika Mandulika lebih berkesan menjaga anak-anak warisnya di Pantai, Seremban selaku Dato’ Lembaga dan tidak lagi terbeban dalam memastikan perjalanan adat Sungei Ujong senantiasa lancar.

YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut mengetuai juak-juak hulubalang di Balai Undang semasa istiadat berlangsung. Selain itu, segala urusan pentadbiran Balai Undang terletak padanya, sekali gus menjadi satu daripada tiga pembesar yang berkuasa di Balai Undang Luak Sungei Ujong. Dua lagi pembesar ialah YM Dato’ Johan Tua Tahu dan YM Dato’ Maharaja Lela.

Selaku salah seorang pembesar berkuasa di Balai Undang, mana-mana orang besar mahu menghadap YTM Dato’ Klana Petra hendaklah bertemu dengan YM Dato’ Andulika Mandulika dan YM Dato’ Andulika Mandulika akan merujuk hasrat untuk mengadap itu kepada YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut terlebih dahulu.

Apabila YTM Dato’ Klana Petra berhasrat untuk menyampaikan sesuatu kepada raja-raja Melayu lain termasuk YTM Dato’ Undang luak lain dan YTM Tunku Besar Tampin, maka YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut bertanggungjawab mendapatkan orang bergelar terkanan di negeri berkenaan supaya dapat menyampaikan hasrat YTM Dato’ Klana Petra.

Aturan Adat Purbakala Luak Sungei Ujong juga menetapkan Putera Yang Empat dan anak-anak Raja bergelar dari Seri Menanti serta tengku-tengku bergelar negeri lain (Tunku Bendahara, Tengku Laksamana, Tengku Panglima dll.) juga mesti mendapatkan YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut terlebih dahulu supaya boleh dibawa menghadap YTM Dato’ Klana Petra.

YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut mempunyai alat kebesaran tersendiri iaitu tombak dan panji hitam. Beliau juga mengawal kawasan laut dalam jajahan Luak Sungei Ujong (sepanjang perairan Port Dickson). Jika YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut berada di darat, tombaknya akan didahulukan semasa berjalan manakala jika di laut, panji hitam itu akan dikibarkan oleh angkatan laut Sungei Ujong yang diketuainya.

Pusaka YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut hanya boleh disandang oleh Waris Klana di-Hulu dan Waris Klana di-Hilir secara bergilir dan dipilih oleh YTM Dato’ Klana Petra sendiri. Lazimnya, ia disandang oleh kerabat terdekat YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut juga boleh mewarisi pangkat YTM Dato’ Klana Petra memandangkan beliau juga adalah Waris Klana, waris yang berhak menjadi pemerintah Sungei Ujong.

 

Nota 1: Pembesar-pembesar yang berkuasa dalam pentadbiran di Balai Undang ialah YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu, YM Dato’ Maharaja Lela Lembaga Waris Klana di-Hilir dan YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut Sungei Ujong.

Nota 2: YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu dan YM Dato’ Maharaja Lela Lembaga Waris Klana di-Hilir berkuasa dalam ehwal istiadat di Balai Undang.

Nota 3: Aturan adat menetapkan mana-mana pihak yang mahu menghadap YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong perlu mendapatkan YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut atau YM Dato’ Johan atau YM Dato’ Maharaja Lela masih berkuatkuasa selaras peruntukan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Ia tertakluk kepada semua ketua kerajaan waima perdana menteri atau menteri besar, menteri Kabinet, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan duta-duta daripada luar negara.

Nota 4: Selain YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut, YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong juga boleh menyampaikan hasratnya kepada Raja-raja Melayu lain termasuk YTM Dato’ Undang luak lain dan YTM Tunku Besar Tampin menerusi YM Dato’ Johan Tua Tahu atau YM Dato’ Maharaja Lela.

Nota 5: YTM Dato’ Klana Petra Sendeng dan YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman al-Qadri merupakan YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut sebelum menjadi Undang Luak Sungei Ujong.

Nota 6: YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut Hajah Boghdad binti Dato’ Menteri Kassim adalah isteri ketiga YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Abdullah bin Panglima Muda Luk Undang Luak Jelebu.

Nota 7: YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut Shaharumzaman bin Dato’ Lela Bangsa Haji Abdul Malek adalah cucu kepada YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut Hajah Boghdad dan YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Abdullah Undang Luak Jelebu mengikut nasab ibu, manakala nasab ayahnya, cucu kepada YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor dan To’ Puan Zaleha binti Sulong, anak kepada YTM Dato’ Klana Petra Muhammad Yusof.

Nota 8: YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut Shaharumzaman bin Dato’ Lela Bangsa Haji Abdul Malek merupakan bapa saudara kepada YTM Dato’ Klana Petra Mubarak bin Dohak dan adik sepupu kepada YAM Dato’ Shahbanda Sungei Ujong Dato’ Seri Utama Badaruddin bin Haji Abdul Khalid.

Nota 9: YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut Haji Ahmad bin Dato’ Qari Raja Haji Muhammad Baqir merupakan ulama sufi dan Khalifah Tarekat Naqsyabadiah Kholidiah ke-36, khalifah terawal Tarekat Naqsyabadiah di Negeri Sembilan. Beliau juga datuk moyang kepada YTM Dato’ Klana Petra Mubarak bin Dohak dan YM Dato’ Johan Tua Tahu Wan Khairil Adli bin Mohd Yusoff.

Sumber penceritaan:

1) YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut Shaharumzaman bin YM Dato’ Lela Bangsa Haji Abdul Malek, 2022
2) YM Dato’ Johan Tua Tahu Wan Khairil Adli bin Mohd Yusoff, 2022
2) JSBRAS, Adat Sungei Ujong, Ogos 1895
3) JMBRAS, Sungei Ujong, J.M Gullick, Mei 1949
4) Balai Undang di Negeri Sembilan, Dr Haji Faridzwan Haji Abdul Ghafar, Sungei Ujong Press, 2019
5) Tuan Guru Syeikh Haji Ahmad Haji Muhamad al-Baqir (1876-1942), laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Sembilan, 22 April 2019
6) Nostalgia Undang Abdullah Singa Jelebu, Yati Rahim, 2022.

YANG MULIA oRANG KAYA BESAR DATO MUDA LINGGI

– ANAK MANJA SUNGEI UJONG –

Yang Mulia Orang Kaya Besar Dato Muda Linggi Dr. Amran Bin Mohd Salleh

Istiadat Mengenal Batang Tubuh Yang Mulia Orang Kaya Besar Dato Muda Linggi – Bergajah Tunggal

Masjid Yang Mulia Orang Kaya Besar Dato Muda Linggi

Pada 2 Jun 2022, telah sempurna istiadat mengenal batang tubuh Orang Kaya Besar YM Dato’ Muda Linggi Dr Amran bin Mohd Salleh terhadap Ke Bawah Kaus YTM Dato’ Klana Petra di balai istiadat, Balai Undang Luak Sungei Ujong, Ampangan, Seremban.

Majlis yang bermula jam 11 pagi itu turut disaksikan YM Dato’-dato’ Lembaga Tiang Balai, YM Dato’-dato’ Lembaga Waris Klana Sungei Ujong, YM Orang-orang Besar Linggi, YM Orang-orang Tua Linggi dan YM Ibu-ibu Soko serta Waris-waris Negeri.

Linggi adalah satu wilayah naungan YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong dan YAM Dato’ Syahbandar. Kawasannya boleh dikatakan keseluruhan sempadan moden mukim Linggi sekarang dalam daerah Port Dickson.

Wilayah itu hendaklah diketuai Dato’ Muda Linggi berketurunan Dato’ Awaluddin mengikut alur sebelah anak perempuannya iaitu Rahimah, Fatimah dan cucu perempuan Halimatus Saadiah. Dipercayai Dato’ Awaluddin meneroka Linggi bersama kakaknya Dato’ Serilah pada abad ke-18 selepas merajuk dengan bapanya, Yang Dipertuan Muda Riau II Daeng Celak.

Beribukan YAM Dato’ Syahbandar dan berbapakan YTM Dato’ Klana Petra, Dato’ Muda Linggi sebagai ‘anak manja’ telah diberi mandat untuk menjaga wilayah Linggi bagi pihaknya.

Namun disebabkan adat Linggi berbeza dengan adat purbakala Sungei Ujong, maka tiada keperluan untuk Dato’ Muda Linggi datang menghadap dan menyembah ke Sungei Ujong, melainkan hanya untuk memperkenal batang tubuh sahaja.

Ketika ini, Dato’ Muda Linggi berperanan menjaga adat Linggi, kedudukan istimewa orang Melayu di Linggi dan perkara-perkara lain berkaitan agama dan adat seperti mencegah ajaran sesat, wahabi dsb. Kariah-kariah masjid dan surau serta institusi agama Islam dalam wilayah Linggi juga diletakkan secara langsung bawah Dato’ Muda Linggi.

Pentadbiran Dato’ Muda Linggi dibantu oleh:

Orang Besar-besar Linggi
1) YM Dato’ Panglima Besar
2) YM Dato’ Panglima Perang
3) YM Dato’ Laksamana

Orang Tua-tua Linggi
1) YM Dato’ Bentara Setia Pengkalan Dian
2) YM Dato’ Jaya Permatang Pasir
3) YM Dato’ Kanda Linggi

Kongsikan:

Hak Cipta © Copyrights 2023. Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dchampion Creation | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong