Chupak yang pěpat
Gantang yang piawai,
Bungkal yang betul
Těraju yang baik,
Tidak boleh di-paling lagi.

SISTEM PEMERINTAHAN SUNGEI UJONG

Paterana Kebawah Kaus YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Balai Istiadat dan Kediaman Kebawah Kaus YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Peterana Telaga Undang Luak Sungei Ujong.

Telaga Undang Luak Sungei Ujong, Pusat Adat Purbakala

Alat Kebesaran Telaga Undang Luak Sungei Ujong.

kenali:

YANG MULIA Dato Dagang Paroi

– Lembaga Tiang Balai / bergajah tunggal –

YM Dato Dagang Paroi Muhammad Habshah Ismail

Barisan Dato-Dato Lembaga sungei Ujong

Makam YM Raja Ketotoh

Penyandang pusaka Dato’ Dagang Paroi adalah perjawatan baharu bagi Luak Sungei Ujong. Ia diwujudkan semasa pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor bin Dato’ Menteri Kassim untuk mengatasi segala masalah yang timbul di Paroi. Waris keturunan yang dilantik menjadi YM Dato’ Dagang Paroi bukanlah sembarangan orang.

Melalui terombo tersimpan di Arkib Negara dan simpanan YM Dato’ Dagang Paroi, waris keturunan Dato’ Dagang Paroi berasal daripada Raja Ketotoh, salah seorang anakanda YAM Tuan Besar Raja Melewar. Dikatakan Raja Ketotoh melarikan diri dari Seri Menanti kerana merajuk dengan ayahandanya.

Ketika sampai di Paroi, Raja Ketotoh berkahwin dengan anak Batin Mengalang yang bernama Tomah. Daripada perkahwinan ini lahir dan berkembangnya waris keturunan YM Dato’ Dagang Paroi hingga ke hari ini. YM Dato’ Dagang Paroi bukanlah Waris Negeri Sungei Ujong kerana bukan berasal daripada jurai keturunan Bendahara Kesultanan Johor-Pahang-Riau-Lingga Dato’ Bendahara Sekudai atau Batin Sibu Jaya.

YM Dato’ Dagang Paroi adalah Waris Biduanda (Biduanda merujuk kepada keturunan istana) biasa kerana salasilah keturunannya menunjukkan ia bukan Waris Klana atau Waris Andulika Mandulika. Waris Dato’ Dagang Paroi juga tiada kaitan dengan Waris di-Ayer Luak Sungei Ujong.

Ia diiktiraf sebagai Waris Biduanda Paroi dan menjadi Dato’ Lembaga Tiang Balai Undang Luak Sungei Ujong. Berikut adalah susunan penyandang Dato’ Dagang Paroi:

1. Raja Ketotoh
2. Dato’ Dagang Paroi Bujak
3. Dato’ Dagang Paroi Lebai Omar
4. Dato’ Dagang Paroi Tahar
5. Dato’ Dagang Paroi Haji Muhamad Akil
6. Dato’ Dagang Paroi Yunos
7. Dato’ Dagang Paroi Mohd Nor
8. Dato’ Dagang Muhamad Habshah bin Ismail

Penyandang pusaka YM Dato’ Dagang Paroi diwujudkan untuk menjadi pembesar Paroi bagi memudahkan apa-apa pekerjaan yang akan dilakukan. Satu tugas yang amat besar bagi YM Dato’ Dagang Paroi ialah peranannya sebagai pembesar yang menyambut YAM Tuan Besar ketika melintasi sempadan Sungei Ujong dengan Terachi.

Dalam perjalanan dari Seri Menanti ke Seremban, YAM Tuan Besar akan melalui Bukit Putus sebelum sampai ke sempadan Luak Sungei Ujong iaitu Paroi. Sebagai YM Dato’ Dagang Paroi yang dianggap Oang Besar di kawasan itu, beliau berperanan untuk menyambut keberangkatan YAM Tuan Besar bersama rombongannya.

YM Dato’ Dagang Paroi akan mengumpulkan seramai mungkin penduduk untuk menyambut YAM Tuan Besar. Ia akan mengatur upacara-upacara yang sesuai untuk YAM Tuan Besar. Sebelum meneruskan perjalanan ke Seremban, YAM Tuan Besar dan rombongan akan bermalam di Paroi. YM Dato’ Dagang Paroi akan menyediakan segala kemudahan dan keperluan YAM Tuan Besar dan rombongannya.

Begitu juga sewaktu pulang dari Seremban ke Seri Menanti. Ketika ini rombongan akan bermalam di Paroi dan keesokan harinya barulah meneruskan perjalanan ke Seri Menanti. YM Dato’ Dagang Paroi akan menyiapkan serta menyediakan kelengkapan pulang YAM Tuan Besar seperti bekalan makanan dan sebagainya.

YM Dato’ Dagang Paroi akan mengiringi rombongan ini hingga ke Bukit Putus (sempadan) dan mengucapkan selamat berangkat kepada YAM Tuan Besar. Ini merupakan tugas dan peranan Dato’ Dagang Paroi yang terpenting serta sebab mengapa jawatan YM Dato’ Dagang Paroi ini diwujudkan.

Di dalam Adat Purbakala Luak Sungei Ujong, YM Dato’ Dagang Paroi adalah Dato’ Lembaga Tiang Balai yang bersifat Bergajah Tunggal. Andainya berlaku sesuatu masalah membabitkan Waris di-Darat dan memerlukan kerapatan Dato’-Dato’ Lembaga Tiang Balai, YM Dato’ Dagang Paroi akan terlibat sama untuk mencukupkan bilangan menjadi empat. Namun begitu jika berlaku kekusutan membabitkan Waris di-Ayer, Dato’ Dagang Paroi akan digantikan oleh YM Dato’ Muda Labu yang juga bersifat Bergajah Tunggal.

Sebagai seorang pembesar yang mempunyai kawasan pentadbiran sendiri di Paroi, YM Dato’ Dagang Paroi berkuasa untuk menjalankan pemerintahannya. Sifatnya sebagai Bergajah Tunggal adalah membawa maksud bebas untuk mentadbir dan menghukum kecuali hukuman yang berat-berat. Pentadbiran YM Dato’ Dagang Paroi dibantu oleh dua Dato’ Lembaga Lingkungan iaitu:

1) YM Dato’ Lela
2) YM Dato’ Muda

YM Dato’ Dagang Paroi berkuasa untuk memungut cukai di kawasannya daripada pedagang-pedagang dan pelombong-pelombong Cina yang melombong di Paroi. Semua hasil dikumpulkan dan diserah sebahagian kepada YTM Dato’ Klana Petra dan sebahagiannya lagi digunakan untuk mentadbir Paroi.

YM Dato’ Dagang Paroi akan memastikan semua pelombong dan saudagar mematuhi peraturan yang telah dibuat. Misalnya melombong di kawasan yang ditentukan sahaja dan perlu memperolehi kebenaran dahulu sebelum melombong.

YM Dato’ Dagang Paroi akan memastikan tidak berlaku perebutan dan perkelahian dalam mencari dan membuka kawasan perlombongan baharu. Jika berlaku pergaduhan dan perkelahian Dato’ Dagang Paroi berhak mengambil tindakan terhadap mereka. Sama ada mereka tidak lagi dibenarkan melombong atau dihalau keluar dari Paroi. Semua ini bergantung kepada kesalahan dilakukan.

YM Dato’ Dagang Paroi sebagai seorang Dato’ Lembaga Tiang Balai akan menjadi Jemaah Pemangku Undang sekiranya YTM Dato’ Undang Luak Sungei Ujong masih belum dilantik. Beliau bersama Dato’ Lembaga Tiang Balai lain akan menjalankan aturan adat Luak Sungei Ujong sepertimana lazimnya sehingga YTM Dato’ Klana yang baharu dilantik.

Nota 1: Kawasan pentadbiran Paroi meliputi Paroi, Kampung Sentosa, Senawang dan Panchor (termasuk taman-taman perumahan moden). Semua kariah dan hal ehwal adat istiadat dalam kawasan berkenaan adalah di bawah tanggungjawab YM Dato’ Dagang Paroi.

Nota 2: YM Dato’ Dagang Paroi berhak menerima tiga tembakan meriam penghormatan (gun salute) semasa istiadat berlangsung.


Kajian bersama oleh:
1. Aziz b Hj Mohd Gorip.
Kurator.
Lembaga Muzium N.Sembilan
2. Shahril Tahirul bin Zainal Abidin.
Pembantu Muzium,
Lembaga Muzium N.Sembilan

Sumber penceritaan:
1) YM Dato’ Dagang Paroi Muhamad Habshah bin Ismail, 2021
2) Sejarah Dato’ Dagang Paroi, Facebook Muzium Negeri Sembilan, 2021
3) Manuskrip Sejarah Luak Sungei Ujong

Kongsikan:

kenali:

YANG MULIA Dato MUDA labu SEPANG ROAD

-ANTARA Lembaga Tiang Balai / bergajah tunggal –

YM Dato Muda Labu Haji Kamaruddin bin Haji Mohd Awal

Makam Toh Mongkon

Menurut catatan sejarah, Labu dibuka ketika era pemerintahan YTM Dato Klana Petra Leha Undang Luak Sungei Ujong kedua (antara 1780-1800). YTM Dato’ Kelana Leha memberi kebenaran kepada seorang Waris di-Ayer iaitu Toh Mongkon untuk membuka Labu dan diberi gelaran ‘dato’ bergajah tunggal’.

Mukim/Jajahan Labu ditadbir oleh seorang Waris di-Ayer Luak Sungei Ujong daripada Perut Nenek Tunggal yang diangkat menjadi YM Dato’ Muda Labu. YM Dato’ Muda Labu mempunyai timbalannya bergelar YM Dato’ Paduka Besar yang berstatus buapak. Kedudukan Dato’ Muda Labu ini ditulis oleh orientalis Barat R.J. Wilkinson yang berbunyi:-

“Dato’ Muda Labu itu adalah berkeadaan separuh merdeka di dalam Sungei Ujong dan lazimnya perkara-perkara tempat kedudukannya telah ditetapkan dengan jalan ianya tidak menghadirkan dirinya didalam temasya yang perkara itu harus diperbincangkan.”

Dato’ Muda Labu dikatakan ‘bergajah tunggal’ berdasarkan kata-kata adat berikut:-

Bergajah Tunggal,
Menggenting Putus,
Meliang Tembus,
Memakan Habis,
Membunuh Mati,
Menggantung Tinggi,
Merendam Basah.

Dato’ Muda Labu adalah bebas tetapi kebebasannya itu terhad kepada perkara-perkara yang bersangkut adat, nikah kawin, pertikaian harta pusaka dan mendamaikan pergaduhan di mana keputusannya adalah muktamad.

Almarhum Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman semasa majlis mengadap di Istana Hinggap Seremban pada 2003 bersama pembesar Adat dari Minangkabau Angku Gadang di-Batipuah, Irwan Djamal bersama Jawatankuasa Persatuan Seni Silat Chakarla Jijan Negeri Sembilan pernah bertitah bahawa disalasilahkan sebarang pembesar negeri hatta YAM Tuan Besar sendiri yang hendak lalu atau ingin mengadakan acara di Mukim/Jajahan Labu perlu memohon izin YM Dato’ Muda Labu Bergajah Tunggal.

Terdapat 12 buapak waris di bawah jajahan YM Dato’ Muda Labu ketika ini iaitu:-

1. YM To’ Paduka Besar – Biduanda Waris di-Ayer (Nenek Tunggal)
2. YM To’ Jenara – Tanah Datar
3. YM To’ Jemudo – Durian Tunggal
4. YM To’ Baginda Raja – Paya Kumbuh
5. YM To’ Orang Kaya Bongsu – Tiga Batu
6. YM To’ Sotei – Mungkal
7. YM To’ Senara Muda – Biduanda Rembau
8. YM To’ Lela Pahlawan – Biduanda Klang
9. YM To’ Juan – Semelenggang
10. YM To’ Dagang – Orang Jawa
11. YM To’ Ampek – Orang Minangkabau
12. YM To’ Mentara – Biduanda Segamat

Nota 1: YM Dato’ Muda Labu ketika ini ialah Dato’ Haji Kamaruddin bin Haji Mohd Awal. Beliau lahir di Kampung Jalan Sepang pada 1951. Mendapat pendidikan awal di Nilai sebelum melanjutkan pendidikan ke Institut Teknologi Mara (kini UiTM) dalam bidang perakaunan dan kini bersara daripada syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB). Beliau mempunyai seorang isteri dan lima cahaya mata.

Nota 2: YM Dato’ Muda Labu berhak menerima tiga tembakan meriam penghormatan (gun salute) semasa istiadat berlangsung.

Nota 3: Kawasan jajahan kawalan YM Dato’ Muda Labu adalah di sepanjang Jalan Sepang dan Jalan Nilai hingga Pekan Labu (Batu 10). Antaranya ialah Bukit Kadir, Kampung Chalet, Kampung Pulau, Pekan Nilai dan Kampung Jijan. YM Dato’ Paduka Besar bertanggungjawab menjaga kawasan sekitar Pekan Nilai Lama.

Nota 4: Semua kariah masjid Jalan Sepang-Nilai dan Jalan Nilai hingga Pekan Labu (Batu 10) terletak di bawah tanggungjawab YM Dato’ Muda Labu.

Nota 5: YM Dato’ Muda Labu merupakan salah seorang Dato’ Lembaga Tiang Balai Undang Luak Sungei Ujong bersama YM Dato’ Andulika Mandulika, YM Dato’ Seri Maharaja Diraja, YM Dato’ Akhirulzaman Rantau dan YM’ Dato Dagang Paroi. Beliau menjadi wakil Waris di-Ayer Luak Sungei Ujong dalam pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra.

Nota 6: Terdapat tiga dato’ lembaga bergajah tunggal di Sungei Ujong iaitu YM Dato’ Muda Labu, YM Dato’ Muda Linggi dan YM Dato’ Dagang Paroi.

Sumber penceritaan diambil daripada:

1) Facebook @Mpkk Kg Pulau Labu
2) JMBRAS, Sungei Ujong, JM Gullick, 1949
3) JMBRAS, Adat Sungei Ujong, 1895

Kongsikan:

Hak Cipta © Copyrights 2023. Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dchampion Creation | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong