Chupak yang pěpat
Gantang yang piawai,
Bungkal yang betul
Těraju yang baik,
Tidak boleh di-paling lagi.

SISTEM PEMERINTAHAN SUNGEI UJONG

Paterana Kebawah Kaus YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Balai Istiadat dan Kediaman Kebawah Kaus YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Peterana Telaga Undang Luak Sungei Ujong.

Telaga Undang Luak Sungei Ujong, Pusat Adat Purbakala

Alat Kebesaran Telaga Undang Luak Sungei Ujong.

kenali:

YANG MUlIA DATO MENTERI PENGHULU

-ORANG bESAR ym dATO lELAPERKASA mENDOM & Ym Dato Penghulu Dagang Lenggeng-

(ALUAN SEMBAH)

 

YM Dato’ Menteri Penghulu Lenggeng merupakan Orang Besar kepada YM Dato’ Lela Perkasa Mendom dan YM Dato’ Penghulu Dagang Lenggeng.

Berperanan sebagai aluan sembah kepada dua Dato’ Lembaga Lingkungan berkenaan dalam Luak Sungei Ujong, pusaka perjawatan ini turut membantu urusan pentadbiran adat dan agama di Mendom dan Lenggeng.

Semua ketua-ketua adat (YM To’-To’ Empat) di Lenggeng dan (YM To’-To’ Buapak) Mendom hendaklah melalui YM Dato’ Menteri Penghulu untuk menghadap YM Dato’ Lela Perkasa dan YM Dato’ Penghulu Dagang.

Selain itu, YM Dato’ Menteri Penghulu juga bertanggungjawab mengawal selia Masjid Kariah Lenggeng dan Masjid Kariah Mendom. Khususnya hal ehwal agama termasuk memberi pandangan dan persetujuan dalam hal lantikan pegawai kedua-dua masjid.

Mengikut sejarah yang direkodkan pentadbiran kolonial pada 1894, asal-usul pusaka YM Dato’ Menteri Penghulu Lenggeng ialah daripada anak lelaki kepada YM Dato’ Penghulu Dagang Tan Banah, bernama Muhammad Yatim.

Lantaran ibu kepada Muhammad Yatim berketurunan Biduanda Rembau, maka sejak itu disyaratkan pusaka YM Dato’ Menteri Penghulu mesti disandang anak Waris Biduanda Rembau Lenggeng.

Antara penempatan yang menjadi tumpuan diamnya Anak-anak Waris Biduanda Rembau ialah Kampung Katub, Kampung Semantong dan Kampung Mendom.

Nota 1: Mukim atau Lingkungan Lenggeng terletak dalam daerah Seremban di Negeri Sembilan. Bersempadan dengan Beranang, Selangor, Lenggeng mula dibuka antara abad ke-16 hingga abad ke-17 oleh Orang Asal.

Nota 2: Pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20, Lenggeng mula menarik kehadiran perantau dari Sumatera dan negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Mereka ke Lenggeng membuka tanah pertanian khususnya sawah padi selain berniaga.

Nota 3: Hampir setiap kampung atau penempatan di Lenggeng mempunyai ketua dipanggil To’ Empat. Sehingga 15 Oktober, seramai 18 YM Tok’-To’ Empat direkodkan bagi mewakili Waris Anak-anak Dagang Lenggeng.

Nota 4: Seramai 18 YM To’-To’ Empat termasuk YM Dato’ Menteri Penghulu diketua YM Dato’ Lembaga Lingkugan bergelar YM Dato’ Penghulu Dagang. Sementara itu, YM Dato’ Penghulu Dagang Lenggeng pula bernaung di bawah YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu Sungei Ujong.

Sumber penceritaan:

1. Warta Kerajaan Negeri Sembilan, Nicholson F.W, 1894
2. JMBRAS, Adat Sungei Ujong, 1895
3. JMBRAS, Sungei Ujong, JM Gullick, 1949
4. Minit mesyuarat perjumpaan ketua-ketua adat Lenggeng, YM Dato’ Penghulu Dagang Haji Abdullah bin Haji Yusof, 1959
5. Sejarah Pertempatan dan Perkembangan Ekonomi Masyarakat Minangkabau di Lenggeng, Negeri Sembilan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Nazilah Mat Naziri, 1988
6. Minit mesyuarat perjumpaan ketua-ketua adat Lenggeng dengan Yang Mulia Dato’ Johan, YM To’ Empat Kumpulan Haji Othman bin Rasul, 2003
7. Portal Rasmi Masjid Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2022
8. Artikel Melayu Anak Dagang di Tanah Melayu, Ruhul Hayat, laman web lelarentaka.com, 6 Mac 2022

kenali:

YANG MUlIA DATO MENTERI ULU BERANANG

-ORANG bESAR ym dATO lELAPERKASA mENDOM-

YM Dato’ Menteri Ulu Beranang merupakan Orang Besar kepada YM Dato’ Lela Perkasa Mendom. Beliau bertanggungjawab menjaga ehwal agama dan adat di kariah Ulu Beranang bagi pihak YM Dato’ Lela Perkasa Mendom, Dato Lembaga Lingkungan Luak Sungei Ujong.

YM Dato’ Menteri Ulu Beranang mempunyai dua To’ Buapak di bawahnya. Mereka ialah YM To’ Setia Menanti mewakili Waris Anak Melaka dan Rembau dan YM Tok Sinda mewakili Waris Anak Minangkabau dan Sumatera di Ulu Beranang.

Manakala Anak-anak Waris dari tempat-tempat lain dikategorikan anak-anak buah kepada YM Dato’ Menteri Ulu Beranang. YM Dato’ Menteri Ulu Beranang pula waris asal Ulu Beranang dan bersalasilah.

Sebelum kemerdekaan negara, YM Dato’ Menteri Ulu Beranang, YM To’ Setia Menanti dan YM To’ Sinda diberi hak mendapatkan ‘pemakanan’ iaitu hasil padi penduduk Ulu Beranang.

Mereka juga mengutip zakat sehinggalah kuasa diserah kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan menerusi penguatkuasaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Namun, mereka masih mempunyai kuasa tertentu dalam hal ehwal lantikan pegawai serta jawatankuasa Masjid Kariah Ulu Beranang dan pengurusan agama lantaran kedudukannya sebagai pembesar adat di bawah pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Nota 1: YM Dato’ Lela Perkasa Mendom merupakan Dato’ Lembaga Lingkungan naungan YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu Luak Sungei Ujong.

Nota 2: Ulu Beranang pernah berada di bawah YM Dato’ Penghulu Dagang Lenggeng. Dalam 1970-an, YM Dato’ Johan Tua Tahu, YM Dato’ Lela Perkasa Mendom dan YM Dato’ Penghulu Dagang Lenggeng bersetuju tiga pembesar adat Ulu Beranang itu diletakkan di bawah YM Dato’ Lela Perkasa Mendom.

Sumber penceritaan:
1. JMBRAS, Sungei Ujong, JM Gullick, 1949
2. Minit mesyuarat perjumpaan ketua-ketua adat Lenggeng dengan Yang Mulia Dato’ Johan, YM To’ Empat Kumpulan Haji Othman bin Rasul, 2003
3. YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu, Oktober 2023
4. YM Dato’ Menteri Ulu Beranang, Oktober 2023

PERANAN:

YANG MUlIA TO' BUAPAK dan TO' EMPAT LINGKUNGAN

– LUAK SUNGEI UJONG –

YM To’-To’ Buapak / Empat lingkungan bertanggungjawab memastikan perjalanan pentadbiran agama Islam dan adat Melayu di semua lingkungan dalam Luak Sungei Ujong berjalan lancar.

Mereka juga dikehendaki menjaga hal ehwal institusi agama Islam seperti masjid, urusan nikah kahwin dan perkara berkaitan agama di lingkungan masing-masing. Antaranya: –
i) urusan nikah kahwin waris di lingkungan
ii) urusan penetapan mas kahwin waris di lingkungan
iii) memastikan tiada amalan ajaran sesat di kariah masjid
iv) mencalonkan pegawai masjid bagi kariah masing-masing
v) mencalonkan pegawai masjid untuk watikah YTM Dato’ Klana Petra
vi) mengimarahkan aktiviti masjid dan kemasyarakatan
vii) menyelia persempadanan kariah masjid-masjid di lingkungan

Sekiranya terdapat permasalahan, hal itu dibawa kepada pengetahuan Dato’ Lembaga yang menjaga lingkungan/jajahan/mukim. Sekiranya tidak dapat diselesaikan, ia akan diangkat kepada YM Dato’ Lembaga Tiang Balai atau YM Dato’ Lembaga Waris Klana.

Jika pada peringkat mereka tidak selesai, ia akan dibawa ke Telaga Undang untuk dibahas dan mendapat penyelesaian. Seterusnya ia dipersembah kepada Ke Bawah Kaus YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong untuk perkenan.

YM To’-To’ Buapak / Empat juga boleh menyampaikan pandangan anak-anak waris lingkungan terhadap YM Dato’ Lembaga yang menjaga lingkungan untuk pengetahuan YM Dato’ Lembaga Tiang Balai, YM Dato’ Lembaga Waris Klana dan YTM Dato’ Klana Petra berhubung perkara berkaitan agama Islam, adat Melayu dan hal-hal pemerintahan negeri.

Ia termasuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu termasuk tanah simpanan Melayu di lingkungan Lenggeng serta kepentingan sah kaum lain.

Nota 1: Bagi YM To’-To’ Buapak di lingkungan bawah YM Dato’ Lembaga Bergajah Tunggal, segala permasalahan adat akan diputuskan terus oleh YM Dato’ Lembaga Bergajah Tunggal terbabit, kecuali hal ehwal agama Islam.

Nota 2: Lingkungan dalam Luak Sungei Ujong yang diketuai YM Dato’ Lembaga Bergajah Tunggal ialah Linggi, Paroi dan Labu

Nota 3: Bilangan YM To’-To’ Buapak / Empat berbeza bagi setiap lingkungan dalam Luak Sungei Ujong. Ia bergantung kepada keluasan dan jumlah kumpulan waris yang ada dalam satu-satu lingkungan itu.

Nota 4: Lingkungan bermaksud kawasan atau jajahan

Nota 5: Kedudukan YM Dato’ Buapak Waris Negeri berbeza dengan YM To’-To’ Buapak / Empat di lingkungan. Kedudukan YM Dato’ Buapak Waris Negeri lebih besar dan mempunyai peranan lebih luas dalam pemerintahan Sungei Ujong.

Nota 6: Gelaran YM To’ Empat hanya digunakan pakai dibawah lingkungan YM Dato Penghulu Dagang Lenggeng.

Nota 7: YM To’-To Buapak / Empat dipertanggungjawap untuk menjaga anak buah dilingkungan masing-masing.

Sumber:
1. JMBRAS, Adat Sungei Ujong, 1895
2. JMBRAS, Sungei Ujong, JM Gullick, 1949
3. YM Dato’ Andulika Mandulika Tua Lembaga Waris di-Darat, temu bual pada 2022
4. YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu, temu bual pada 2022
5. YM Dato’ Lela Bangsa Buapak Waris Negeri Klana di-Hilir, temu bual pada 2022 

Kongsikan:

Hak Cipta © Copyrights 2023. Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dchampion Creation | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong