Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong

Sejarah
sungei Ujong

Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.

100%

Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar

Asal Usul Gelaran Dato Klana Petra

YAM Tuan Muda Riau

Balai Undang Dato' Klana Bador

Gelaran YTM Dato’ Kelana Putera bagi Undang Luak Sungei Ujong dikurniakan oleh Sultan Johor-Riau-Lingga-Pahang. Gelaran itu dipercayai dikurnia Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah pada 1760.

Dikisahkan semasa Dato’ Penghulu Menteri Cantik atau Penghulu Rumah Gedong dan pembesar-pembesar Sungei Ujong dari Pantai, Seremban pergi mengadap Sultan Johor-Riau-Lingga-Pahang di Kota Tinggi. Di istana, Sultan menyoal Dato’ Penghulu Menteri Cantik berhubung adat.

Soalan itu tidak dapat dijawab Dato’ Penghulu Menteri Cantik, namun dapat dijawab oleh anaknya bernama Bador. Terpegun dan kagum dengan kebijaksanaan Bador, maka Sultan Johor-Riau-Lingga-Pahang berkenan memberi pangkat Dato’ Klana Petra kepada Bador.

Sejak itu, Dato’ Penghulu Menteri Sungei Ujong diubah gelaran dinaikkan ke pangkat Dato’ Klana Petra serta dilebihkan daripada Dato’ Undang yang lain.

Sultan Johor-Riau-Lingga-Pahang juga memperkenankan Dato’ Klana Petra memakai pakaian Raja-raja sama seperti Raja Muda (Yang Dipertuan Muda Riau).

Dato’ Klana Petra juga boleh memakai alat Raja-raja berwarna kuning dan bendera bertengkolok hitam, panji-panji, ular-ular, alat senjata serba dua, mengembangkan payung kebesaran, sampaian dan pedang bercabut senjata serba dua, tombak benderang kiri dan kanan.

Turut boleh dipakai alat kekuningan berpeterana lima tingkat bergunung, bersilang kuning (gunting), bertabir langit-langit, sampaian dua belas dan tembakan meriam penghormatan lima das.

YTM Dato’ Klana Petra juga dibolehkan ada juak hulubalang, pegawai di kiri dan kanannya sama seperti Yang Dipertuan Muda Riau semasa Hari Raya kedua ketika pembesar-pembesar mengadap YTM Dato’ Klana Petra.

Disebabkan hal demikian, maka Dato’ Undang yang lain (Jelebu, Johol dan Rembau) mengatakan bahawa Sungei Ujong imam kepada mereka dan ia menjadi adat turun temurun sampai sekarang.

Di dalam aturan menabal Yang di-Pertuan Besar, hanya dengan kuasa Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong, barulah sah dan sempurna kejadian Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

 

Nota 1: Pangkat dan gelaran Klana Petra pada mulanya dipakai Yang Dipertuan Muda Riau pertama iaitu Opu Daeng Marewah ibni Opu Daeng Rilaka. Beliau bergelar Klana Jaya Petra. Sejak itu mana-mana Yang Dipertuan Muda Riau akan bergelar Klana Jaya Petra.

Nota 2: Lantaran pangkat dan gelaran (baju) sama dengan Yang Dipertuan Muda Riau, maka kekuasaan, kedaulatan dan taraf yang sama juga terpakai kepada YTM Dato’ Klana Petra. Antaranya kuasa menentukan raja dan menentukan pemerintahan negeri. YTM Dato’ Klana Petra diumpamakan seperti ‘lelaki’ manakala YAM Tuan Besar umpama ‘perempuan’ yang hanya diberi makan sahaja.

Nota 3: Perjanjian di antara Tengku Sulaiman, mewakili bangsawan Melayu dan Opu Daeng Parani, mewakili bangsawan Bugis berbunyi seperti berikut: “Dan lagi pula Yang Dipertuan Besar jadi seperti perempuan sahaja, jika diberinya makan baharu makan ia. Dan Yang Dipertuan Muda jadi seperti laki laki, dan jika ada satu satu hal atau apa apa juga bicara melainkan apa kata Yang Dipertuan Muda. Syahadan sekelian perjanjian kita mana mana yang tersebut itu tiada boleh diubah lagi, maka boleh kita semua pakai sampai kepada anak cucu cicit turun temurun kita kekal selama lamanya.”

Nota 4: Memandangkan Dato’ Undang Luak Sungei Ujong memakai gelaran dan pangkat Klana Petra, maka kekuasaan dan daulatnya sama seperti Klana Jaya Petra yang disandang Yang Dipertuan Muda Riau seperti yang dinyatakan dalam perjanjian pada Nota 3.


Sumber penceritaan daripada:

1. Manuskrip Teromba Salasilah Negeri Sungei Ujong, 1910
2. Tuhfat al-Nafis, Raja Ali Haji, 1885
3. JMBRAS Vol 22, Sungei Ujong oleh J.M Gullick, 1949
4. JSBRAS Vol 83, Sungai Ujong oleh R.J Wilkinson, 1921
5. JSBRAS Vol 53, Notes On Malay History oleh Blagden, 1909

Kongsikan:

Hak Cipta © Copyrights 2023. Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dchampion Creation | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong