Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong

Sejarah
sungei Ujong

Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.

100%

Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar

Bukti Kuasa Dato Lembaga Sungei Ujong Di Kawasan

It must always be remembered that Sungei Ujong was not a tribal State like Rembau. It possessed great territorial chiefs in the Dato’ Bandar who governed the Coast, the Dato’ Andulika Mandulika who ruled Pantai, the Dato’ Akhirzaman of Rantau, the Dato’ Amar of U’lu Klawang, and the Dato’ Muda of Linggi. These chiefs possessed concessions and seals; in some cases they owed their positions and revenues (equally with the Klana) to the Sultan of Johor.

Sebahagian peranan Dato’-Dato’ Lembaga Adat Luak Sungei Ujong ialah menjaga jajahan Undang Luak Sungei Ujong dikenali sebagai ‘lingkungan’ di daerah Seremban dan daerah Port Dickson.

Dato’-Dato’ Lembaga Luak Sungei Ujong juga bertanggungjawab ke atas kariah-kariah masjid dalam lingkungan diketuainya selain mengetuai hal ehwal adat Melayu. Ia disebut dalam Adat Purbakala Sungei Ujong:

Undang memerintah negeri
Lembaga memerintah lingkungan
Tua memerintah waris
Buapak memerintah anak buah

Dato’-Dato’ Lembaga Sungei Ujong memerintah kawasan atau lingkungan berdasarkan amalan Adat Purbakala diwarisi kira-kira 700 tahun lalu dan Undang-undang Sungei Ujong (teks undang-undang bertulis Melayu Sungei Ujong). Secara perbandingan dengan negeri Melayu lain, boleh difahamkan:

Perak – Orang Besar wakil sultan di Jajahan
Pahang – Orang Kaya wakil sultan di Kawasan
Selangor – Orang Besar wakil sultan di Daerah
Sungei Ujong – Dato’ Lembaga wakil Dato’ Klana Petra di Lingkungan


Kuasa dan keistimewaan Dato’-Dato’ Lembaga Sungei Ujong antaranya mengutip cukai di lingkungan kawalannya, ada cap mohor kuasa dan boleh melantik pembesar adatnya sendiri bergantung kepada hierarki masing-masing.

Contoh pertama, YM Dato’ Muda Linggi boleh melantik pembesarnya tanpa merujuk kepada YTM Dato’ Klana Petra dan YAM Dato’ Syahbandar kerana statusnya sebagai bergajah tunggal.

Contoh kedua, YM Dato’ Lela Perkasa Mendom boleh melantik pembesarnya sendiri selepas mendapat persetujuan Waris Bersalasilah Mendom dan perkenan daripada YM Dato’ Johan Tua Tahu selaku Lembaga Waris Klana Hulu. Hal demikian kerana YM Dato’ Lela Perkasa Mendom bernaung di bawah Waris Klana Hulu Sungei Ujong.

Segala kuasa-kuasa Dato’ Lembaga di lingkungan, Ibu Soko dan Anak-anak Waris Negeri Sungei Ujong terangkum dalam Fasal 32 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menyebut:

Fasal 32.
Dikecualikan sebagaimana yang ada dinyatakan dalam ini, maka Bahagian ini tiadalah menyentuh aturan dan adat Negeri Sembilan zaman purbakala, tetapi aturan dan adat zaman purbakala itu mana-mana yang tidak berlawanan kehendaknya dengan Bahagian ini akan berjalan seperti dahulu juga.


Kuasa Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong di sisi undang-undang sejak sebelum Hari Kemerdekaan (yakni sejak zaman purbakala) diperakui, diiktiraf dan diperkukuh berdasar takrifan pada Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan iaitu:

Perkara 160.
“Undang-undang” termasuklah undang-undang bertulis, common law setakat yang berkuat kuasa di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuat kuasa undang-undang di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya

“Undang-undang yang sedia ada” ertinya mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya sebaik sebelum Hari Merdeka;


Kuasa-kuasa Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong terangkum menerusi kedudukan dan sifat-sifat khusus pembesar-pembesar Adat Zaman Purbakala di Negeri Sembilan. Perihal itu dimaktubkan menerusi Perkara 19 dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang menyebut:

Perkara 19.
(2) Peruntukan yang menyentuh pewarisan takhta dan kedudukan Pembesar-Pembesar Memerintah dan pembesar-pembesar adat Melayu yang seumpamanya tidak boleh dipinda oleh Badan Perundangan Negeri.

(6) Seksyen ini tidak menidaksahkan mana-mana peruntukan Perlembagaan Negeri ini yang menghendaki persetujuan mana-mana kumpulan orang terhadap apa-apa pindaan yang menyentuh—

(c) pelantikan dan sifat khusus bagi Pembesar-Pembesar Memerintah atau pembesar-pembesar adat Melayu yang seumpamanya dan anggota Majlis Penasihat mengenai agama atau adat atau badan yang seumpamanya;

(d) pengadaan, pengawalseliaan, pengesahan dan pelucutan pangkat, gelaran, kemuliaan, kebesaran dan kurniaan di sisi adat Melayu dan sifat bagi pemegang- pemegangnya dan pengawalseliaan balai-balai diraja dan istana-istana.


Jelas disebut pada Perkara 19 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan bahawa kedudukan Pembesar Memerintah dan pembesar adat Melayu tidak boleh dipinda atau diubah oleh Dewan Undangan Negeri.

Kerajaan Negeri Sembilan juga HENDAKLAH membayar elaun seperti disyaratkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Ia tanda pihak berkuasa negeri memperakui, mengiktiraf dan memuliakan kuasa, kedudukan dan keandikaan institusi Dato’-Dato’ Lembaga Sungei Ujong.

Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 Fasal 70 menyebut:

Fasal 70.
Selain daripada wang pemberian, gaji atau lain-lain wang yang dikenakan bayarannya oleh apa-apa syarat lain dalam Perlembagaan Negeri ini atau undang-undang Negeri ini daripada Kumpulan Wang Negeri maka hendaklah dibayar jua –

a) wang elaun Yang di-Pertuan Besar dan Undang Yang Empat serta Tengku Besar Tampin dan lain-lain Dato’ Lembaga dan gaji Yang Dipertua Mesyuarat Dewan Negeri.


Kedudukan pembesar-pembesar adat Luak Sungei Ujong turut diiktiraf berdasarkan konvensyen undang-undang diperakui Kerajaan Britain dan Istana Buckingham menerusi perjanjian 1874, 1895, 1898, 1909 dan 1934.


Nota 1: YAM Dato’ Syahbandar Sungei Ujong berkuasa ke atas kawasan pesisir sungai dan laut, khususnya gudang, pengkalan, pelabuhan, kawasan bandar dan pekan.

Nota 2: YM Dato’ Andulika Mandalika Tua Lembaga Waris di-Darat atau Tua Lembaga Tiang Balai berkuasa mentadbir mukim Pantai-Sikamat-Ampangan.

Nota 3: YM Dato’ Akhirzaman berkuasa di mukim Rantau dan Dato’ Muda Linggi memerintah Linggi secara bergajah tunggal (ada kuasa autonomi).

Nota 4: YM Dato ‘ Amar Penghulu Ulu Klawang dahulunya ialah Dato’ Lembaga Tiang Balai Undang Sungei Ujong, tetapi selepas persempadanan Sungei Ujong-Jelebu pada akhir abad ke-19, Dato’ Amar Penghulu dimasukkan dalam pemerintahan Luak Jelebu sebagai Orang Besar Undang Jelebu. Namun kedudukan adatnya ialah “berbapa ke Jelebu, beribu ke Sungei Ujong” lantaran asal-usulnya sebagai Waris Biduanda Sungei Ujong.


Sumber rujukan:

1) Perlembagaan Persekutuan
2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
3) JSBRAS Vol 28, Adat Sungei Ujong, 1895
4) JSBRAS Vol 53, Notes On Malay History oleh Blagden, 1909
5) JSBRAS Vol 83, Sungai Ujong oleh RJ Wilkinson, 1921
6) Treaties and Engagements Affecting the Malay States and Borneo, disunting Sir William George Maxwell & William Sumner Gibson, 1924
7) British Intervention A.D 1872-1897 dalam Part 1 History Negeri Sembilan Notes, Papers On Malay Subject oleh RJ Wilkinson, 1933
8) JMBRAS Vol 22, Sungei Ujong oleh JM Gullick, 1949
9) JMBRAS Vol 23, The Mandulika of Sungei Ujong oleh RO Winstedt, 1949
10) JMBRAS Vol 42, The Relationship Between The Adat And State Constitutions of Negri Sembilan oleh MB Hooker, 1969
11) The Rulers of Malaysia, Tun Ahmad Sarji, Archipelago Press, 2011
12) A History of Selangor & Negeri Sembilan, RO Winstedt & RJ Wilkinson, 2021
13) Dewan Masyarakat Bil. 05/2023, Prerogatif dan Hak Memerintah Dalam Hal Ehwal Tanah, Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, 2023

Kongsikan:

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong