Sejarah
sungei Ujong
Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.
100%
Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.
Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar
YTM Dato’ Klana Petra Lela Setia Mohamad Yusof bin Hashim adalah pemerintah Luak Sungei Ujong ke-7 yang tidak disukai British kerana terlalu bijak dan mempunyai ketinggian ilmu luar biasa termasuk ilmu batin.
Beliau dipilih sebagai Undang Luak Sungei Ujong pada 1881 menggantikan datuk saudaranya, Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman yang meninggal dunia di Makkah selepas menunaikan fardu haji. Kedua-duanya adalah Waris Klana di-Hilir berasal dari Kampung Setul, Batu 8 Pantai.
Pemilihannya bersandarkan kepada kebijaksanaannya pada masa itu. Beliau satu-satunya Waris Klana yang pandai membaca dan menulis berbanding waris-waris Klana lain. Beliau juga teguh dalam amalan agama Islam.
Sejak pelantikannya sebagai YTM Dato’ Klana Petra, Residen British amat sukar berunding dan sukar ‘menasihati’ beliau. Seringkali YTM Dato’ Klana Petra Mohamad Yusof dapat mematahkan hujah dan ‘nasihat’ Residen British.
Pada masa sama beliau memiliki ilmu batin, di mana Residen Inggeris dan pegawai British sering terlihat beliau menunggang harimau jika hadir mesyuarat bersama pegawai Kerajaan Sungei Ujong di Seremban.
Mengikut cerita lisan YM Dato’ Lela Bangsa Buapak Waris Klana di-Hilir, YTM Dato’ Klana Petra Lela Setia Mohamad Yusof sebenarnya menunggang kuda, tetapi Residen dan pegawai British terpukau dengan ilmunya sehingga kelihatan seperti beliau menunggang harimau.
Selain itu, pegawai British juga sering sakit-sakit selepas bertemu dengannya, seolah-olah terkena daulatnya sebagai YTM Dato’ Klana Petra.
Pernah YTM Dato’ Klana Petra Mohamad Yusof menggunakan senapangnya menembak ke langit, namun peluru itu singgah ke badan pegawai British yang sedang berjalan di tempat lain di bandar Seremban (dikatakan lokasi YTM Dato’ Klana Petra Lela Setia Mohamad Yusof melepaskan tembakan itu di kawasan yang menjadi bangunan Wisma Negeri dan Dewan Undangan Negeri sekarang).
Lantaran sukar berunding dan sering ketakutan kerana melihat YTM Dato’ Klana Petra Mohamad Yusof menunggang harimau, Residen British dan pegawai-pegawai Inggeris mencari helah supaya beliau disingkirkan daripada tampuk pemerintahan Sungei Ujong.
Maka pada 1889, Residen British menaja percutiannya ke Singapura selama beberapa bulan.
Semasa ketiadaan Undang Luak Sungei Ujong itu kerana bercuti ke Singapura, Residen British menguar-uarkan berita palsu di Seremban dan Pantai kononnya YTM Dato’ Klana Petra Mohamad Yusof ke Singapura kerana dimasukkan ke hospital gila.
Gempar dengan berita itu, semua Dato’ Lembaga Tiang Balai, ibu-ibu soko Klana dan YM Ibu Soko Zainab, Ibu Soko Waris Klana di-Hulu memutuskan melantik cucu saudara YTM Dato’ Klana Petra Mohamad Yusof iaitu Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu, Dato’ Maamor bin Dato’ Menteri Kassim yang berumur sembilan tahun pada masa itu sebagai YTM Dato’ Klana Petra baharu.
Sekembalinya YTM Dato’ Klana Petra Mohamad Yusof ke Pantai, beliau terperanjat melihat majlis kerjan YTM Dato’ Klana Petra baharu sedang berlangsung.
Berang dengan situasi berkenaan YTM Dato’ Klana Petra Mohamad Yusof nekad mahu mengambil semula kuasanya sebagai Undang, namun apabila terpandang cucu saudaranya Dato’ Maamor sedang diarak atas kuda, beliau tidak sampai hati dan membatalkan hasratnya.
YTM Dato’ Klana Petra Mohamad Yusof akhirnya bersetuju YTM Dato’ Klana Petra Maamor menggantikannya sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
Seterusnya YTM Dato’ Klana Petra Mohamad Yusof mengahwinkan YTM Dato’ Klana Petra Maamor dengan cucu perempuannya iaitu Ibu Soko Zaleha, Ibu Soko Waris Klana di-Hilir.
Residen British yang bimbang dan takut dengan tindakbalas YTM Dato’ Klana Petra Mohamad Yusof atas perbuatan menyebarkan berita palsu dan merancang penyingkirannya, memujuk dengan meneruskan pembayaran pencen/elaun Undang Luak kepada YTM Dato’ Klana Petra Mohamad Yusof dan bersetuju dengan gelaran tambahan Lela Setia pada namanya.
Sejak itu, YTM Dato’ Klana Petra Mohamad Yusof dikenali sebagai YTM Dato’ Klana Petra Lela Setia Mohamad Yusof. Nama berkenaan kini diabadikan pada Masjid Dato’ Klana Petra Lela Setia Mohamad Yusof yang dahulunya adalah Masjid Sikamat.
Nota 1: YTM Dato’ Klana Petra Maamor terus memerintah Sungei Ujong dari 1889 sehingga 1945. Selepas 1898, YTM Dato’ Klana Petra Maamor memerintah Negeri Sembilan bersama Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhammad, YTM Dato’ Undang Luak Jelebu, Johol, Rembau dan Tunku Besar Tampin.
Nota 2: YTM Dato’ Klana Petra Mubarak bin Dohak adalah cicit kepada YTM Dato’ Klana Petra Maamor mengikut keluarga sebelah ibunya dan cicit kepada YTM Dato’ Klana Petra Lela Setia Mohamad Yusof mengikut keluarga sebelah bapanya
Nota 3: YAM Dato’ Shahbandar Sungei Ujong, Dato’ Seri Utama Badaruddin bin Abdul Khalid adalah cucu kepada YTM Dato’ Klana Petra Maamor dan piut kepada YTM Dato’ Klana Petra Lela Setia Mohamad Yusof
Penceritaan ini berdasarkan sumber:
1) YM Dato’ Lela Bangsa Buapak Waris Klana di-Hilir
2) A Chapter on Sungei Ujong – Letter XIII, Isabella L. Bird Bishop, 1883