Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong

Sejarah
sungei Ujong

Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.

100%

Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar

Persamaan Majlis Raja-Raja Dan Dewan Keadilan & Undang Negeri Sembilan

Undang Yang Empat dalam suatu perhimpunan tahun 1897
(Chiefs of Negeri Sembilan, 1897 - dalam simpanan Arkib Negara British)

Perlembagaan Persekutuan & Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan

Majlis Raja-Raja

Majlis Raja-Raja

Barisan Raja-Raja Melayu Ketika Menandatangani Perjanjian Perseketuan Tanah Melayu

Seperti ramai sedia maklum, pembentukan dan peranan Majlis Raja-Raja dalam Perlembagaan Persekutuan dibentuk pada 1948 berdasarkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957.

Namun mungkin ramai tidak mengetahui Majlis Raja-Raja memiliki beberapa persamaan dengan Dewan Keadilan & Undang Negeri Sembilan.

Penubuhan Dewan Keadilan & Undang Negeri Sembilan berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan semasa YAM Tuan Seri Menanti Tuanku Muhammad ibni Almarhum Tuanku Antah dipertuankan sebagai YAM Tuan Besar Negeri Sembilan.

Versi terkini ditulis berdasarkan pindaan 1959, namun Undang-undang Tubuh wujud seawal 1896. Sebahagian besarnya mengambil asas kerajaan luak seperti Kerajaan Sungei Ujong, lama sebelum Negeri Sembilan wujud.

Daripada Perlembagaan Persekutuan tertulis;

“Perkara 38. Majlis Raja-Raja;

(1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Raja-Raja yang hendaklah ditubuhkan mengikut Jadual Kelima.”

Majlis Raja-Raja atau Conference of Rulers dalam Perlembagaan Persekutuan mengambil asas penubuhan Dewan Keadilan & Undang dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Persamaan juga wujud dalam perkara berikut di dalam Perlembagaan Persekutuan;

“(5) Majlis Raja-Raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153.”

Jika Majlis Raja-Raja menjadi rujukan utama Kerajaan Persekutuan sekiranya memerlukan nasihat berkaitan adat istiadat Melayu dan Islam, Dewan Keadilan & Undang pula menjadi rujukan utama Menteri Besar mewakili Kerajaan Negeri Sembilan berkenaan hal sama. (Juga rujuk gambar 3)

Jika merujuk kepada Jadual Ketiga (Perkara 32 dan 33) dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan Bahagian 1, iaitu berkaitan memilih, menentukan kelayakan, memasyhurkan, menabal malah memecat Yang di-Pertuan Agong juga mengambil pelaksanaan sama Undang Yang Empat (selaku ahli Dewan Keadilan & Undang) terhadap YAM Tuan Besar Negeri Sembilan.

Namun demikian, pembentukan Majlis Raja-Raja, peranan serta amalan berdasar Perlembagaan Persekutuan masih lagi hasil persetujuan kesemua Raja-Raja, YAM Tuan Besar serta Pembesar Memerintah (Raja bersama Negeri Sembilan) iaitu YTM Dato’ Undang Yang Empat dan YTM Tunku Besar Tampin. (Penandatangan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu)

Meski ia mengambil asas Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959, banyak lagi rujukan lain diambil sebagai panduan dan memastikan peranan dan fungsi Majlis Raja-Raja benar-benar mematuhi dan dipelihara haknya dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia antara keunikan sistem Raja Berpelembagaan dan hanya satu seumpamanya di dunia.

Kedaulatan Raja-Raja terpelihara haknya dalam Perlembagaan Persekutuan. Semuanya demi memastikan dengan rahmat dan inayahNya, diizinkan Raja-Raja terus memayungi rakyat.

Rujukan:
1. Perlembagaan Persekutuan
2. Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
3. Facebook Arkib Negara Malaysia
4. Facebook The Patriots, Februari 2017

Ciapan:
http://www.arkib.gov.my/web/guest/perjanjian-kemerdekaan-persekutuan-tanah-melayu-di-tandatangani

Kisah Dato' Undang Empat Menentang Malayan Union

Selepas Jepun tewas dalam Perang Dunia Kedua, British kembali ke Tanah Melayu dan cuba melenyapkan kedaulatan Raja-raja Melayu.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Kerajaan Britain mahu mewujudkan Malayan Union dengan menjadikan negeri-negeri Melayu daripada ‘protected states’ kepada ‘crown colonies’ atau dengan kata lain memindahkan segala kekuasaan Raja-raja Melayu kepada Raja Britain

Wakil Kerajaan Britain, Sir Harold MacMichael dipertanggungjawabkan mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu.

Berdasarkan kertas kajian ‘Malayan Union dan Persekutuan 1948′ oleh Dr Ahmad Kamal Ariffin Bin Mohd Rus (2017), MacMichael terpaksa berhadapan dengan tentangan Dato’-dato’ Undang Yang Empat.

Empat Undang Luak iaitu YTM Dato’ Maamor bin YM Dato’ Menteri Kassim (Dato’ Klana Petra, Undang Luak Sungai Ujong), YTM Dato’ Shahmaruddin bin Abdul Rahman (Dato’ Mendelika Menteri Akhirzaman, Undang Luak Jelebu), YTM Dato’ Kamat bin Sulaiman (Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Undang Luak Johol) dan YTM Dato’ Haji Ipap bin Abdullah (Dato’ Lela Maharaja, Undang Luak Rembau) membantah tindakan MacMichael memaksa YAM Tuan Besar Tuanku Abdul Rahman menandatangani perjanjian Malayan Union.

Malah, YTM Dato’ Klana Petra yang sedang uzur ketika itu turut datang ke Istana Seri Menanti berjumpa dengan MacMichael bagi menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan MacMichael.

Manakala, YTM Dato’ Undang Jelebu pula berpendapat bahawa, “… Malayan Union merupakan suatu perkara yang sudah jadi dan sungguhpun ia ditentang, ia berkata di dalam keadaan seperti ini, tidaklah ada bezanya sama ada ia menurunkan tandatangan ataupun tidak.”

YTM Dato’ Johol pula merupakan seorang yang sangat tua dan boleh dikatakan tidak mengenal huruf dan nyata sekali tidak memahami betul-betul apa yang sedang berlaku.

Namun, pada 14 November 1945, YAM Tuan Besar Tuanku Abdul Rahman akhirnya menurunkan tandatangan setelah tunduk kepada desakan MacMichael. Tandatangan itu diturunkan tanpa persetujuan YTM Dato’ Undang Yang Empat, selepas MacMichael mengugut untuk tidak mengiktiraf YAM Tuan Besar kerana bekerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Antara keempat-empat Undang tersebut, YTM Dato’ Klana Petra dan YTM Dato’ Undang Rembau dilihat paling tidak bersetuju dengan perbuatan YAM Tuan Besar menurunkan tandatangan itu. Semua YTM Dato’ Undang Luak menganggap perjanjian Malayan Union sebagai tidak sensitif dan menjejaskan maruah orang Melayu.

Namun, selepas Malayan Union ditubuhkan pada 1946, orang-orang Melayu bangkit menentangnya sehingga memaksa Kerajaan Britain membubarkan Malayan Union dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948, sekali gus memulihkan kedaulatan Raja-raja dan Dato’ Undang Yang Empat.


Sumber penceritaan:
1. Report on a Mission to Malaya by Sir Harold A. MacMichael, October 1945 – January 1946
2. Malayan Union dan Persekutuan 1948, Dr Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus

Dato' Undang Sungei Ujong Ahli Lembaga Gabenor
MCKK Pertama

Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) ditubuhkan pada 2 Januari 1905 atas dukungan Raja-raja Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB). Terletak di bandar diraja Kuala Kangsar, Perak, ia sekolah asrama penuh berprestij di Tanah Melayu.

Terkenal dengan jolokan “the Eaton of the East”, anak-anak Raja dan bangsawan Melayu melanjutkan pelajaran di institusi berkenaan. Pada 1917, tatanan pentadbiran sekolah itu bertukar.

Struktur baharu mengkehendaki pengetua melapor kepada Lembaga Gabenor, dianggotai semua Residen British NNMB, wakil Raja-raja NNMB dan pengarah pelajaran NNMB.

Pengerusi Lembaga Gabenor MCKK pertama ialah Residen British Perak Sir Reginald George Watson.

YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor bin YM Dato Menteri Kassim mewakili pemerintah-pemerintah Negeri Sembilan (YTM Dato’ Undang Empat, YTM Tunku Besar Tampin dan YAM Tuan Besar Seri Menanti) untuk menganggotai Lembaga Gabenor MCKK.

Turut bersama YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor dalam Lembaga Gabenor MCKK pada 1917 ialah:

– Raja Sir Chulan ibni Sultan Abdullah Muhammad Shah II (wakil Perak)
– Tengku Musa’eddin Shah ibni Sultan Alauddin Sulaiman Shah (wakil Selangor)
– Tengku Sulaiman ibni Sultan Sir Ahmad Muadzam Shah (wakil Pahang)

MCKK cemerlang melahirkan ramai negarawan dan tokoh terkemuka tanah air. Antaranya Sultan Hisamuddin Alam Shah (Yang di-Pertuan Agong kedua & Sultan Selangor), Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Yang di-Pertuan Agong ke-11 & Sultan Selangor).

Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (Yang di-Pertuan Agong ke-7 & Sultan Pahang), Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Yang di-Pertuan Agong ke-9 & Sultan Perak), Tuanku Ja’afar (Yang di-Pertuan Agong ke-10 & YAM Tuan Besar Seri Menanti), Dato’ Onn Jaafar (Menteri Besar Johor ke-7) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri ke-10) juga lepasan MCKK.

Nota 1: YTM Dato’ Klana Petra Muhammad Kassim bin YM Dato’ Andulika Mandulika Abdul Rashid merupakan alumni MCKK. Beliau melanjutkan pelajaran ke MCKK atas cadangan YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor bin YM Dato’ Menteri Kassim.

Nota 2: YTM Dato’ Undang Luak Jelebu ke-13 Dato’ Mandulika Menteri Akhirzaman Shahmaruddin bin Haji Abdul Rahman (memerintah 1945-1962); YTM Dato’ Undang Luak Johol ke-15, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Haji Muhammed bin Haji Abdullah (memerintah 2016-kini); dan YTM Dato’ Undang Luak Rembau ke-18 Dato’ Sedia Raja Abdullah bin Haji Dahan (memerintah 1922-1938) juga antara lepasan MCKK.

Nota 3: Dato’ Lembaga Tiang Balai Undang dan Tua Lembaga Waris di-Ayer Luak Sungei Ujong, YM Dato’ Seri Maharaja Diraja Mohd Hanifah bin Abdul Ghani menuntut di MCKK antara 1936-1942 dan 1945-1949.

Sumber:
1. The first MCKK Board of Governors 1917, Malay College Old Boys Association (MCOBA), portal berita MCOBA, 14 September 2018
2. Portal The Malay College Kuala Kangsar (MCKK)

Kongsikan:

Hak Cipta © Copyrights 2023. Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dchampion Creation | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong