Sejarah
sungei Ujong
Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.
100%
Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.
Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar
Pemilihan dan pemecatan Dato’ Undang, Dato’ Lembaga dan To’ Buapak perlu mengikut aturan adat Luak Sungei Ujong sejak zaman-berzaman.
Mengikut adat, pemilihan atau pemecatan hanya boleh dilakukan ibu soko dan anggota waris yang mempusakai gelaran dan kuasa dato’ adat berkenaan.
Ibu soko dan anggota waris perlu bermuafakat dan berkebulatan (konsensus) dalam memilih atau memecat seseorang dato’ adat sekiranya ada sebab-sebab yang kukuh.
Keputusan itu kemudiannya dibawa ke Telaga Undang untuk dibahaskan ibu soko Telaga Undang (Ibu Soko Kanan Waris Klana Hulu) dan anak-anak Waris Klana Hulu dan Hilir.
Keputusan perbahasan di Telaga Undang pula akan disahkan YM Dato’ Andulika Mandalika selaku Tua Lembaga Tiang Balai merangkap Tua Lembaga Waris di-Darat.
Ia sejajar kata adat: “sah batal kepada Dato’ Andulika Mandalika”.
Selepas itu, keputusan dipersembah ke bawah kaus YTM Dato’ Klana Petra untuk perkenan, berdasarkan kata adat: “hidup mati kepada Undang”
Bolehkah YTM Dato’ Klana Petra memilih, memecat atau menolak pelantikan seseorang Dato Lembaga dan To’ Buapak secara langsung?
Jawapannya, YTM Dato’ Klana Petra TIDAK BOLEH SECARA UNILATERAL memilih, memecat atau menolak pelantikan pembesar adat Sungei Ujong, kecuali dipersetujui ibu soko dan anak-anak waris bagi pusaka dato’ adat berkenaan serta memperoleh kata “sah batal” Dato’ Andulika Mandalika.
Dalam hal pemecatan atau penolakan lantikan, YTM Dato’ Klana Petra hendaklah adil, ada alasan benar-benar kukuh mengikut al-Quran, hadis Nabi SAW, hukum syarak dan undang-undang negara.
Ia sejajar kata adat:
“Adat bersendi syarak
Syarak bersendi hukum
Hukum bersendi kitabullah.”
Tindakan YTM Dato’ Klana Petra juga tertakluk kepada Fasal 6 – Undang-Undang Sungei Ujong yang menyebut:
Karna kata firman Allah ta’ala:
(Wa idhâ hakamtum baina‘l-nâsi an tahkumû bi ‘l-‘adli”),
Apabila engkau menghukumkan di-antara manusia, hěndak-lah engkau hukumkan dengan ‘adil.”
Kata hadis Melayu:
Jikalau měnumbok, di-lĕsong,
Jikalau běrtanak, di-pěriok.”
Sekiranya ia dilakukan tanpa persetujuan ibu soko dan anggota waris bagi pusaka dato’ adat yang berkenaan dan tiada kata “sah batal” Dato’ Andulika Mandalika, maka pemecatan atau penolakan lantikan bagi dato’ adat itu tidak boleh dibuat.
Anggota waris yang menyandang pusaka dato’ adat itu pula tetap sah akan sifat khususnya dan kedudukannya mengikut adat Sungei Ujong dan Fasal 32 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.
Di dalam urusan adat, YTM Dato’ Klana Petra tiada kuasa mutlak. Setiap peringkat iaitu Dato’ Lembaga, To’ Buapak, Tua Waris, ibu soko, anak-anak waris duduk di atas adatnya dan Dato’ Andulika Mandalika serta Dato’ Lembaga akan memastikan cara ini terpelihara.
YTM Dato’ Undang Sungei Ujong dalam hal perjalanan adat hanya seperti ‘mayat yang dimandikan’ kerana semua diaturkan sejak zaman-berzaman.
Kuasa memerintah luak dan kuasa-kuasa ‘bersama’ memerintah negeri selaras aturan adat Sungei Ujong iaitu:
“Berjinjang naik, bertangga turun,
“Undang duduk kepada adat Undang, Lembaga duduk kepada adat Lembaga, Tua duduk kepada adat Tua, Buapak duduk kepada adat Buapak dan anak buah duduk kepada adat anak buah.
Aturan adat itu dibuat sedemikian bagi menjamin pemisahan kuasa (separation of power) dalam pemerintahan Sungei Ujong membabitkan Waris Negeri, waris lingkungan dan pembesar-pembesar adat termasuk tunggak luak iaitu YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.
Pemisahan kuasa di Sungei Ujong ini selaras dengan tuntutan agama. Dinukilkan sejarawan Islam Ibn Athhir pada karyanya Al-Kāmil fī al-tārīkh, the complete history.
Prinsip pengasingan kuasa ialah tunggak penting pemerintahan Khulafa’ Ar-Rasyidin dengan memetik kisah mahsyur penghakiman qadhi Syuraih Ibn Al-Harith ke atas Khalifah Ali bin Abi Talib dalam pertikaiannya dengan seorang Nasrani yang melibatkan perisai perang. Di mana khalifah sendiri terpaksa dihadapkan di mahkamah dan tunduk dengan keputusan hakim, qadhi syuraih.
Sudah teradat undang-undang kepada YTM Dato’ Klana Petra yakni berundang, berkeadilan, berteromba, bersalasilah – menerusinya wujud pemisahan kuasa seimbang – tanpa kawalan berlebihan oleh mana-mana pihak, sekali gus membolehkan keadilan dapat ditegakkan, kebebasan dipelihara, dan kuasa tidak disalahgunakan.
Nota 1: Bagi pemilihan atau pemecatan Lembaga Waris Klana Hulu iaitu Dato’ Johan Tua Tahu hendaklah ada persetujuan ibu soko, anak-anak Waris Klana di-Hulu dan kata “sah batal” daripada Dato’ Andulika Mandalika sebelum dipersembah ke bawah kaus YTM Dato’ Klana Petra untuk perkenan.
Nota 2: Bagi pemilihan atau pemecatan Lembaga Waris Klana Hilir iaitu Dato’ Maharaja Lela hendaklah ada persetujuan ibu soko, anak-anak Waris Klana di-Hilir dan kata “sah batal” daripada Dato’ Andulika Mandalika sebelum dipersembah ke bawah kaus YTM Dato’ Klana Petra untuk perkenan.
Nota 3: Untuk pemilihan atau pemecatan Dato’ Andulika Mandalika pula hendaklah ada persetujuan ibu soko, anak-anak Waris Andulika Mandalika dan kata “sah batal” daripada Waris Klana Hulu dan Klana Hilir perlu sebelum dipersembahkan ke bawah kaus YTM Dato’ Klana Petra.
Nota 4: Mana-mana proses pemilihan atau pemecatan bermula di telapak pusaka dato’ adat berkenaan dan kemudian dibawa untuk dibahas di Telaga Undang untuk mendapatkan kata “sah batal”, sebelum boleh dipersembah ke Balai Undang.
Nota 5: Anak-anak Waris Klana dan ibu soko Klana boleh memberi pandangan dan nasihat ‘peribadi’ kepada YTM Dato’ Klana Petra berhubung hal adat istiadat termasuk soal pemilihan, pelantikan dan pemecatan pembesar adat Sungei Ujong.
Sumber penceritaan:
1. YM Dato’ Andulika Mandalika, Seremban, 1 Januari 2024
2. YM Dato’ Johan Tua Tahu, Seremban, 1 Januari 2024
3. JMBRAS Vol 22, Sungei Ujong oleh J.M Gullick, 1949
4. JSBRAS Vol 83, Sungai Ujong oleh R.J Wilkinson, 1921
5. Manuskrip Teromba Salasilah Negeri Sungei Ujong, 1910
6. JSBRAS Vol 53, Notes On Malay History oleh Blagden, 1909
7. Undang-undang Sungei Ujong kurun ke-14
8. Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
9. Perlembagaan Persekutuan