Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong

Sejarah
sungei Ujong

Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.

100%

Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar

Peterana Dato Undang

Peterana Telaga Undang

Peterana Lembaga Waris Klana

Istiadat

Mengikut Kamus Dewan Bahasa edisi keempat, peterana ialah tempat duduk untuk orang yang dihormati dan dimuliakan.

Di peterana, sosok yang dihormati dan dimuliakan itu akan menerima menghadap tetamu yang datang mengikut adat istiadat Melayu.

Mengikut Ibnu Khaldun dalam karya agung Muqaddimah yang ditulis kira-kira 640 tahun lalu, beliau mentakrifkan peterana dengan menyebut:

“Takhta, peterana, tempat peraduan, kerusi – semuanya adalah bermaksud kepingan-kepingan kayu atau perlengkapan kerajaan yang diadakan khusus untuk raja, supaya baginda mempunyai tempat yang lebih tinggi daripada orang lain di balairung dan agar baginda tidak tampak setara dengan hamba rakyat. Kesemuanya ini sudah menjadi budaya kebangsawanan, malah sebelum Islam, dan semasa dinasti-dinasti bukan Arab.”

Dalam konteks Luak Sungei Ujong, peterana ialah tempat bersemayam YTM Dato’ Klana Petra dan tempat duduk YM Dato’-Dato’ Lembaga di Luak Sungei Ujong, Negeri Sembilan.

Peterana YTM Dato’ Klana Petra direka khusus setinggi lima tingkat, manakala YM Dato’-Dato’ Lembaga lain setinggi tiga tingkat sahaja.

Peterana lima tingkat melambangkan lima rukun Islam dan peterana tiga tingkat pula mewakili fiqah, tauhid dan tasawuf.

Namun, hanya peterana YTM Dato’ Klana Petra; YM Telaga Undang; YM Dato’ Orang Kaya Laksamana; YM Dato’ Johan Tua Tahu, YM Dato’ Maharaja Lela ada hiasan gunung berangkat, silang gunting dan berwarna kuning diraja.

Manakala peterana YM Dato’ Andulika Mandalika Tua Lembaga Tiang Balai merangkap Tua Lembaga Waris di-Darat ada hiasan gunung berangkat dan silang gunting tetapi tiada warna kuning diraja.

Kesemua pusaka perjawatan itu disandang Waris Negeri Sungei Ujong. Hiasan gunung berangkat di peterana mereka menandakan kedudukan Waris Negeri paling tinggi berbanding Waris-waris lain dalam Sungei Ujong.

Manakala hiasan silang gunting melambangkan kalimah syahadah, tanda peringatan untuk YTM Dato’ Klana Petra dan YM Dato’-Dato’ Lembaga Waris Negeri Sungei Ujong menjunjung agama Islam dan amanah yang telah diberikan oleh allah dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Firman-Allah:

﴿إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا٧٢﴾

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah (tanggungjawab) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tiada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan amat jahil.” (Surah al-Ahzab: 72)

Kisah teladan Umar Ibn al-Khattab:

Perihal ketinggian sifat amanah dan integriti Saidina Umar al-Khattab ini terhasil daripada rasa tanggungjawab dan pertanggungjawaban yang bakal dihadapinya di hadapan Allah s.w.t kelak.

Dinukilkan oleh al-Sallabi di dalam bukunya “Umar ibn al-Khattab : Shaksiyyatuhuwa ‘asruhu” patut kita renungi bersama. Diceritakan bahawa Umar pernah berkata kepada dirinya sendiri “Jikalau seekor anak kambing mati di pinggir sungai Furat (kerana kehausan akibat gagal sampai ke sungai Furat), sudah tentu aku takut Allah akan menghisab Umar kerana perkara tersebut.”

Bagi YM Dato’ Lembaga Tiang Balai, Dato’ Lembaga Bergajah Tunggal, Dato’ Lembaga Lingkungan, peterana di telapak mereka tidak dibenarkan memakai gunung berangkat, silang gunting dan warna kuning diraja.

Sekiranya YM Dato’ Andulika Mandalika, YM Dato’ Johan Tua Tahu atau YM Dato’ Maharaja Lela ke lingkungan pegangan masing-masing, maka peterana YM Dato’ Lembaga Lingkungan terlibat akan menjadi peterana bagi mereka di lingkungan berkenaan.

Hiasan-hiasan lain yang harus ada pada peterana YTM Dato’ Klana Petra dan YM Dato’-Dato’ Lembaga di Sungei Ujong ialah:

a) tabir lelangit:-
Tabir lelangit ialah alat kebesaran yang dipasang pada bahagian atas (siling). Tabir ini dipasang di ruang istiadat, ruang YTM Dato’ Klana Petra dan YM Dato’ Lembaga menerima tetamu dan tempat ibu soko duduk.

Tabir lelangit diperbuat daripada kain perca yang disambung atau kain daripada satu warna. Kain batik lepas juga kadang-kala digunakan. Tabir lelangit berfungsi sebagai pelindung daripada najis haiwan atau habuk yang jatuh atas YTM Dato’ Undang atau YM Dato’ Lembaga.

Bagi YTM Dato’ Klana Petra, tabir lelangit melambangkan Negeri dan Luak yang diperintah. Manakala bagi YM Dato’ Lembaga ia pula bermakna lingkungan atau jajahan yang diketuainya.

Dari segi perspektif Islam, lelangit diilhamkan kisah langit berawan yang melindungi Rasulullah SAW dan lelangit itu diumpamakan pelindungan dari allah kepada pemerintah yang amanah, adil dan saksama serta didinding daripada anasir tidak diingini.

b) sesampai:-
Sesampai ialah alat kebesaran melambangkan pendukung adat mempunyai pusaka mememerintah negeri, luak dan lingkungan. Kedudukan pembesar Melayu ditandai dengan isyarat lipatan (tingkat atau takek) pada kain sesampai itu. Empat kain sesampai diletak di peterana iaitu di kiri, kanan, depan dan belakang peterana.

YTM Dato’ Klana Petra ada lima lipatan sesampai, YM Dato’ Lembaga Waris Negeri ada tiga lipatan sesampai, manakala YM Dato’ Lembaga Bergajah Tunggal dan YM Dato’ Lembaga Lingkungan tiada lipatan pada kain sesampai. Kain sesampai mengikut simbol keislaman pula bermakna empat malaikat yang melindungi Rasulullah SAW dan perlambangan empat Khalifah ar-Rasyidin.

c) tabir lingkung:-
Tinggi tabir lingkungan daripada lantai adalah satu meter. Jenis kain dipasang ialah kain batik dan kain yang mempunyai satu warna sahaja.

Dari segi warna pula, kuning khusus untuk YTM Dato’ Klana Petra dan YM Dato’ Lembaga Waris Klana. YM Dato’ Lembaga lain bebas dan tidak terikat dengan warna kecuali warna kuning.

d) tilam pandak:-
Tilam kecil yang dibalut dengan kain batik lepas dan diletak bawah tabir lelangit. Menjadi tempat duduk YTM Dato’ Klana Petra dan YM Dato’-Dato’ Lembaga, di atasnya dibentangkan tikar rompok. Tilam pandak juga bertujuan memberi keselamatan dan kemuliaan kepada YTM Dato’ Klana Petra dan YM Dato’-Dato’ Lembaga.

e) tikar rompok:-
Tikar rompok dibuat daripada anyaman mengkuang atau pandan sepanjang enam kaki dan lebarnya dua kaki. Bagi YTM Dato’ Klana Petra dan YM Dato’ Lembaga Waris Klana, bahagian tepi tikar dibalut kain berwarna kuning.

Bagi YM Dato’ Lembaga lain, mereka tidak boleh memakai kain warna kuning pada epi tikar tetapi bebas menggunakan warna lain. Tikar rompok diletakkan di atas tilam pandak biasa lima lapis untuk YTM Dato’ Klana Petra, tiga lapis untuk YM Dato’ Lembaga dan selapis untuk YM To’ Buapak.

Bagi tilam pandak lima dan tiga lapis, lapis pertama paling panjang, diikuti dengan lapisan seterusnya sehingga lapisan terakhir yang paling pendek. Saiz setiap lapisan selebar kain pemidang. Bahagian kepala dan bawah tikar ditekat motif menggunakan benang emas.

Tikar rompok adalah alas tempat duduk YTM Dato’ Klana Petra, YM Dato’ Lembaga dan ketua-ketua adat lain di dalam majlis adat istiadat.

Nota 1: Ketika istiadat mengenal batang tubuh terhadap ke bawah kaus YTM Dato’ Klana Petra, hanya YM Dato’ Lembaga Tiang Balai, Dato’ Lembaga Waris Klana, Dato’ Lembaga Bergajah Tunggal dan Semenda Waris Klana sahaja boleh naik peterana sehingga tingkat kelima bagi memperkenalkan batang tubuh dengan YTM Dato’ Klana Petra.

Nota 2: Bagi Dato’ Lembaga Lingkungan, mereka hanya naik setakat tingkat ketiga peterana YTM Dato’ Klana Petra semasa istiadat mengenal batang tubuh, namun jarang dibuat kerana kebiasaannya lantikan YM Dato’ Lembaga Lingkungan hanya sampai ke YM Dato’ Lembaga Waris Negeri masing-masing sahaja.

Nota 3: Mengikut Adat Purbakala, YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong dan YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirzaman Undang Luak Jelebu hanya duduk seorang di atas peterana mereka, melambangkan kedudukan sebagai pemerintah ‘berkeadilan’ di luak masing-masing.

Nota 4: Adat Purbakala menetapkan, peterana lima tingkat YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong di Balai Undang diapit peterana YM Dato’ Lembaga di bahagian kiri dan kanan. Peterana kanan diduduki YM Dato’ Lembaga Tiang Balai yang diumpamakan paru-paru pentadbiran yakni mengurus tadbir Balai Undang. Peterana sebelah kiri pula diisi YM Dato’ Lembaga Waris Klana yang diumpamakan sebagai jantung – punca kuasa YTM Dato’ Klana Petra.

Nota 5: Berdasarkan Adat Purbakala Jelebu, peterana YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirzaman Undang Luak Jelebu di Balai Mengadap diapit peterana YM Dato’ Lembaga Tiang Balai di bahagian kiri dan kanan. Empat YM Dato’-Dato’ Lembaga Talian Adat duduk di peterana kanan manakala empat YM Dato’-Dato’ Lembaga Talian Pusaka di sebelah kiri.

Nota 6: YTM Dato’ Undang Johol dan YTM Dato’ Undang Rembau boleh duduk di peterana bersama isteri masing-masing lantaran kedudukan dua YTM Dato’ Undang itu tiada ‘berkeadilan’ di luak mereka. Peterana YTM Dato’ Undang Johol dan YTM Dato’ Undang Rembau juga tidak diapit peterana YM Dato’ Lembaga mereka.

Nota 7: Untuk YM Dato’-Dato’ Lembaga di Sungei Ujong, hanya penyandang pusaka duduk atas peterana di telapak masing-masing ketika istiadat.

Nota 8: Sama seperti peterana, kepuk makam YTM Dato’ Undang dan YM Dato’ Lembaga juga dibina bertingkat mengikut kedudukan. Jika YTM Dato’ Undang Luak kepuk makamnya lima tingkat, manakala YM Dato’ Lembaga kepuk makamnya tiga tingkat.

Sumber penceritaan:

1. Temu bual YM Dato’ Andulika Mandalika, Pantai, Oktober 2024
2. Temu bual YM Dato’ Johan Tua Tahu, Pantai, Oktober 2024
3. Temu bual YM Semenda Waris Klana di-Hulu Mohd Yusoff Yahaya, Klang, Oktober 2024
4. Mukadimah Edisi Bahasa Melayu (Muqaddimah), Ibnu Khaldun, Biblio Press, 2023
5. Artikel Tabir lelangit dan tabir lingkungan, Facebook Muzium Negeri Sembilan, Mei 2020
6. Rumah dan peralatan olek serta permainan tradisional Negeri Sembilan, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, 2007

Kongsikan:

Hak Cipta © Copyrights 2023. Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dchampion Creation | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong