Sejarah
sungei Ujong
Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.
100%
Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.
Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar
Sistem kenegaraan Malaysia ialah ‘Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen’. Namun tahukah anda Sungei Ujong juga ada sistem tatanegara tersendiri yang diasaskan sejak ratusan tahun lalu.
Sistem kenegaraan Sungei Ujong ialah ‘BERKEADILAN, BERUNDANG, BERTEROMBA & BERSALASILAH’. Apa maknanya?
BERKEADILAN:
Ia bermaksud YTM Dato’ Klana Petra berkuasa memutuskan sesuatu perkara dipersembahkan kepadanya sesudah dibincang dan dibahas di Telaga Undang (Parlimen bagi Sungei Ujong).
YTM Dato Klana Petra juga boleh berkeadilan dalam Dewan Keadilan dan Undang susulan kedudukannya sebagai ‘imam’ atau ‘abang tua’ dalam hierarki YTM Undang Yang Empat.
Turut diistilah sebagai kuasa ‘memancung’, YTM Dato’ Undang Sungei Ujong berkeadilan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dalam memutuskan sebarang perkara diusul.
Di luak, YTM Dato’ Klana Petra dalam berkeadilan perlu mendapatkan kata ‘sah’ daripada YM Dato’ Andulika Mandalika Tua Lembaga Waris di-Darat dan YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu dan YM Dato’ Maharaja Lela Lembaga Waris Klana di-Hilir.
Ia sesuai dengan Undang-undang Sungei Ujong (undang-undang Melayu bertulis Sungei Ujong abad ke-14) yang diharmonikan dengan kata adat – ‘sah batal kepada Lembaga, hidup mati kepada Undang’.
Berkeadilan oleh YTM Dato’ Klana Petra hendaklah bersandarkan KEBENARAN selaras Fasal IV Undang-undang Sungei Ujong yang menyebut:
Ada pun tempat tĕrbit benar itu daripada tiga pěrkara:
i) daripada muafakat,
ii) daripada Kitab Allah,
iii) daripada pusaka.-
Ada pun asal benar itu ĕmpat pěrkara:
i) daripada perkataan Allah,
ii) daripada dalil dan hadith Rasul Allah,
iii) daripada ikhtiar daripada segala ulama dan Imam Shafi’i, Hanafi, Hanbali, Maliki
iv) daripada Nabi Allah Adam ‘alaihi ‘s-salam.
Dalam berkeadilan juga YTM Dato’ Klana Petra perlu adil menimbang kata-kata Tua Lembaga Waris di-Darat dan Lembaga Waris Klana Perut Hulu dan Perut Hilir (selaras mengikut peruntukan-peruntukan di dalam Undang-undang Sungei Ujong).
BERUNDANG:
Bermaksud Waris Klana Sungei Ujong mengangkat YTM Dato’ Klana Petra sebagai Undang yang menjadi tunggak pemerintahan negeri. Ia juga bermakna apabila Undang itu ada, institusi berkenaan hendaklah berkerajaan dan ada susunan pembesar-pembesar adatnya.
Antaranya Dato’ Lembaga Tiang Balai, Dato’ Lembaga Waris Klana, Dato’ Lembaga Bergajah Tunggal, Dato’ Lembaga Lingkungan, Waris Nan Tertua, Ibusoko-Ibusoko dan To’-To’ Buapak. Ia meliputi semua lingkungan dalam jajahannya (daerah Seremban dan Port Dickson).
BERTEROMBA:
Ia bermaksud pemerintahan dan pentadbiran berdasarkan teromba ditulis, diwarisi dan dikemaskini oleh Waris Klana. Kuasa Undang umpama berpucuk ke langit berakar ke bumi. Sehubungan dengan itu, bersumberkan kuasa dan bai’ah Ibu Soko Klana dan Waris Klana, maka YTM Dato’ Klana Petra dapat melaksana amanah pemerintahan di Sungei Ujong dan Negeri Sembilan bersama YTM Dato’ Undang lain serta YTM Tunku Besar Tampin dan YAM Tuan Besar.
Di dalam teromba, terkandung cerita asal-usul Sungei Ujong dan catatan peristiwa-peristiwa penting negeri yang menjadi pedoman buat YTM Dato’ Klana Petra, Ibu Soko Klana dan Waris Klana untuk menjalankan amanah pemerintahan di Sungei Ujong.
Ia sejajar dengan kata-kata hikmah – “Mereka yang tidak belajar sejarah pasti akan mengulangi kesilapan lampau”
BERSALASILAH:
Pemilihan pemerintah-pemerintah Sungei Ujong berpandukan nasab keturunan ‘saka, baka’. Telah ditetapkan, hanya anak cucu Dato’ Bendahara Skudai Bendahara Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang boleh memerintah Sungei Ujong. Dikenali Waris Negeri pada masa kini, kedudukan mereka terpelihara dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.
Lazimnya, Ibu Soko Klana dan Waris Klana berketurunan Dato’ Klana Petra terdahulu dan berketurunan Dato’ Undang serta pembesar-pembesar Melayu dalam salasilah diutamakan untuk memegang amanah pemerintahan negeri.
Nota 1: Jelebu memakai sistem ‘berkeadilan, berundang dan berlembaga’. Johol memakai sistem ‘berundang, bersalasilah dan berteromba’. Rembau memakai sistem ‘berundang dan berlembaga’.
Nota 2: YAM Tuan Besar hanya ‘berkeadilan’.
Nota 3: Dinamakan Dewan Keadilan dan Undang kerana ia merujuk kepada kuasa berkeadilan YTM Dato’ Klana Petra Sungei Ujong, YTM Dato’ Undang Jelebu dan YAM Tuan Besar, selain kedudukan YTM Dato’ Undang Johol dan YTM Dato’ Undang Rembau sebagai Dato’ Undang. Sebagai badan tertinggi dalam Negeri Sembilan, ia berkuasa memutuskan hal ehwal Adat Melayu Negeri Sembilan dan pewarisan takhta negeri serta ehwal agama Islam.
Nota 4: Tatanan kenegaraan Sungei Ujong hendaklah dibaca dan difahami bersama Fasal 32 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan Jadual Kelapan serta Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan; yang menjamin perjalanan Adat Purbakala tidak terjejas dan tidak boleh disentuh.
Nota 5: Maka dengan jelas disini yang Berundang, Berterombo & Bersalasilah adalah Waris Negeri itu sendiri iaitu Waris Klana Sungei Ujong.
Nota 6: Pemerintahan Luak Sungei Ujong yang mengamalkan Adat Purbakala ini sejak zaman berzaman telah mengamalkan sistem pemerintahan Khalifah iaitu Sistem Syura “Collective Decision”.
Sumber penceritaan:
1. Temu bual YM Dato’ Johan Tua Tahu, Telaga Undang, Batu 9 Pantai, Seremban, 1 Januari 2024
2. Undang-undang Sungei Ujong kurun ke-14
3. JSBRAS No 83, Sungai Ujong, RJ Wilkinson, 1921
5. JMBRAS Vol 22, Sungei Ujong, JM Gullick, 1949
6. Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
7. Perlembagaan Persekutuan