Sejarah
sungei Ujong
Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.
100%
Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.
Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar
Perang Bukit Putus berlaku pada 25 November 1875. Ia berpunca tindakan YAM Tuan Antah berkomplot dengan Orang Besar Istana melantik diri sendiri memerintah Seri Menanti, sekali gus mencabul hak melantik YAM Tuan Besar oleh YTM Dato’-Dato’ Undang Yang Empat dan menceroboh kedaulatan Luak Sungei Ujong.
Tradisi YTM Dato’-Dato’ Undang menabalkan YAM Tuan Besar Negeri Sembilan bermula pada 1773 apabila Raja Melewar ditabal di Kampung Penajis, Rembau. Ini jelas membuktikan bahawa apabila tiada kebulatan daripada YTM Dato’-Dato’ Undang, maka tiada raja boleh ditabalkan.
Ia ikatan janji, asas persetujuan, adat dan peraturan ditetapkan. Seandainya janji ini dimungkiri maka pecahlah adat dan tiada lagi kebulatan dan muafakat. Apa mungkin seorang perempuan diangkat menjadi raja walau hanya sebagai pemangku.
Inilah perkara dilakukan Dato’ Siamang Gagap iaitu seorang dianggap wira dalam sejarah yang menggunakan pengaruhnya sebagai Orang Besar Istana Seri Menanti menaikkan Tunku Ampuan Intan menjadi raja (1869-1872) dengan alasan sementara waris pengganti kepada YAM Tuan Imam dapat diputuskan.
Ia membelakangi perjanjian adat dan peraturan sejak pertabalan Raja Melewar. Apabila ia berlaku, YTM Dato’ Undang Sungei Ujong, imam atau ketua kepada YTM Dato’-Dato’ Undang Luak marah dan mengisytiharkan keluar daripada Negeri Sembilan. Tindakan YTM Dato’ Klana Petra ini kemudiannya diikuti YTM Dato’ Undang Jelebu dan YTM Dato’ Undang Rembau.
Kemelut pelantikan waris takhta berlaku kerana ramai Orang Besar Istana tidak mahu mengangkat anakanda Almarhum YAM Tuan Imam iaitu Tunku Ahmad Tunggal sebagai YAM Tuan Besar bagi menggantikan ayahandanya yang mangkat kerana didakwa mempunyai kelakuan buruk dan zalim.
Peranan Dato’ Siamang Gagap pada masa ini adalah untuk menidakkan Tunku Ahmad Tunggal daripada menaiki takhta lantas beliau mempengaruhi Orang-Orang Besar Istana untuk menaikkan Tunku Ampuan Intan iaitu permaisuri YAM Tuan Radin sebagai pemangku raja dan pada masa yang sama mahu Tunku Besar Lintau ibni Raja Radin untuk menaiki takhta.
Namun cadangan ini ditolak Tunku Besar Lintau kerana tidak berminat dengan urusan keduniaan dan mahu menumpukan ibadat. Kemudian Dato’ Siamang Gagap inginkan pula Tunku Laksamana Antah ibni Raja Radin dijadikan YAM Tuan Besar dan cadangan ini mendapat persetujuan Penghulu-penghulu Luak Tanah Mengandung iaitu Muar, Jempol, Terachi, Gunung Pasir dan Inas serta YTM Dato’ Undang Johol ketika itu.
Apabila Tunku Laksamana Antah dinaikkan menjadi YAM Tuan Besar atas persetujuan penghulu-penghulu lingkungan Tanah Mengandung, maka ini menyebabkan Sungei Ujong, Rembau dan Jelebu keluar daripada Negeri Sembilan kerana tidak memperakui Tunku Antah sebagai YAM Tuan Besar.
Tunku Ahmad Tunggal iaitu anakanda kepada YAM Tuan Imam kecewa dengan pelantikan tersebut mengadu kepada YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman. YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman berasa marah kerana secara terang-terangan tindakan itu mengubah adat dan aturan pelantikan YAM Tuan Besar selain mengambil hak kedaulatan YTM Dato’-dato’ Undang Yang Empat.
Atas pencabulan aturan dan pelanggaran hak YTM Dato’-dato’ Undang Luak oleh YAM Tuan Antah, YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman mengambil semula Terachi sebagai jajahan Sungei Ujong. Untuk makluman, Terachi sebelum kedatangan Raja Melewar adalah di bawah pemerintahan Sungei Ujong sebelum dipinjamkan kepada YAM Tuan Besar untuk dijadikan serambi Seri Menanti.
Mengikut laporan Kapten Patrick Murray, punca YAM Tuan Antah bersengketa dengan YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman ialah:
1) Cemburu dengan kekayaan YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman dan kemakmuran Sungei Ujong pada masa itu.
2) YAM Tuan Antah bimbang dengan pengaruh YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman ke atas pembesar-pembesar lain di Negeri Sembilan.
3) YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman enggan melantik dan menabalnya sebagai YAM Tuan Besar
4) Berang dengan YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman kerana mengambil semua Terachi dan melantik Penghulu Luak di situ
Pada ketika itu, Residen Inggeris sudah ditempatkan di Sungei Ujong dan dilindungi British berdasarkan perjanjian 21 April 1874 antara Sungei Ujong dan British. Oleh kerana Sungei Ujong tidak lagi dalam Negeri Sembilan, maka YTM Dato’ Undang Sungei Ujong mengarahkan supaya sempadan antara Sungei Ujong dan Seri Menanti diukur dan ditetapkan. Jelebu dan Rembau yang keluar dari Negeri Sembilan turut mahu mengukur sempadan pemisahan dengan Seri Menanti.
Malangnya pasukan juruukur itu diserang oleh angkatan Seri Menanti. Peristiwa itu berlaku pada 25 November 1875 ketika Kapten Patrick Murray bersama dengan pengukur dan sepasukan askar ke Terachi bagi kerja mengukur sempadan. Sampai sahaja di Bukit Putus, pasukan diketuai Kapten Patrick Murray diserang angkatan Seri Menanti diketuai Dato’ Siamang Gagap.
Maka meletuslah perang Bukit Putus dan dalam peperangan tersebut pasukan yang dihantar Sungei Ujong berundur ke Paroi. Apabila mendengar perkhabaran Kapten Patrick Murray diserang maka bantuan askar Negeri-negeri Selat tiba untuk mempertahankan Sungei Ujong dari pencerobohan angkatan Seri Menanti. Peperangan akhirnya tamat apabila pasukan tentera Sungei Ujong menawan Seri Menanti pada 22 Disember 1875 dengan mudah.
Susulan penawanan Seri Menanti oleh YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman, YAM Tuan Antah terpecat sebagai YAM Tuan Besar. Baginda telah lari menyelamatkan diri ke Singapura manakala Dato’ Siamang Gagap menyembunyikan diri. Pada Mei 1876, semasa di Singapura, YAM Tuan Antah mengadap Maharaja Johor Maharaja Abu Bakar dan Gabenor British mengadu nasibnya yang kalah perang.
Gabenor British, Sir Frederick Aloysius Weld khuatir perang berlanjutan akan menjejaskan perdagangan Negeri-negeri Selat. Sebagai jalan tengah, Sir Frederick bersetuju YAM Tuan Antah balik ke Seri Menanti dan meminta YTM Dato’ Klana Syed Abdul Rahman pulang ke Sungei Ujong. British juga bersetuju YAM Tuan Antah menjadi YAM Tuan Besar tetapi di Seri Menanti sahaja. Manakala Sungei Ujong, Jelebu dan Rembau diperakui bukan lagi sebahagian Negeri Sembilan dan menjadi negeri bebas.
YAM Tuan Antah pulang ke Seri Menanti pada 1877. Tidak lama kemudian YAM Tuan Antah bertelingkah pula dengan pembesar-pembesar adat di Tanah Mengandung atas dakwaan memerintah tidak mengikut adat Seri Menanti.
Atas dasar simpati, pada Mac 1881 Sir Frederick mengadakan pertemuan antara YAM Tuan Antah dan pembesar-pembesar Tanah Lingkungan di laluan Bukit Putus bagi menyelesaikan kemelut antara mereka. Akhirnya YAM Tuan Antah mengalah dengan tuntutan pembesar-pembesar adat Tanah Lingkungan, namun kesannya baginda semakin hilang pengaruh di Seri Menanti.
Sir Frederick juga menguruskan pinjaman untuk pembangunan negeri Seri Menanti supaya dapat membina laluan perdagangan antara Tanah Mengandung dengan Melaka, malangnya wang pinjaman itu diselewengkan YAM Tuan Antah. Pada 22 Oktober 1887, YAM Tuan Antah dijangkiti wabak cacar dan diasingkan. Baginda akhirnya mangkat kerana penyakit itu dan dilaporkan tiada seorang pun pembesar Negeri Sembilan hadir pada hari pengkebumiannya.
Sehingga 1898, Sungei Ujong, Rembau dan Jelebu adalah negeri-negeri bebas dan bukan sebahagian Negeri Sembilan. Pada 29 April 1898, dengan rundingan oleh pihak Inggeris maka YTM Dato’ Undang Sungei Ujong, Jelebu dan Rembau setuju membentuk Konfederasi Negeri Sembilan melalui perjanjian antara Tuanku Muhammad iaitu anakanda YAM Tuan Antah dengan YTM Dato’-dato’ Undang Yang Empat.
Antara perkara digariskan dalam bab 2 perjanjian tersebut iaitu, “Maka sekarang telah kembalilah Undang Yang Empat menabalkan beta menjadi raja di dalam Negeri Sembilan kerana mengikut peraturan yang telah dibuat oleh orang tua-tua.”
Melalui perjanjian inilah kuasa YTM Dato’ Undang Luak menabal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dimaktubkan sepertimana adat ketika menabalkan Raja Melewar dahulu dan peraturan ini tidak boleh dibelakangi sesiapa pun termasuk Orang Besar Istana waima besar mana pun pengaruhnya.
Nota 1: Watak-watak peristiwa Perang Bukit Putus ini boleh dikaitkan dengan hadis Rasulullah SAW iaitu:-
Hadis diriwayatkan Ali bin Abi Talib
لَعَنَ اللهُ مَنْ ذَبَحَ لِغَيْرِ اللهِ، وَلَعَنَ اللهُ مَنْ آوَى مُحْدِثًا، وَلَعَنَ اللهُ مَنْ لَعَنَ وَالِدَيْهِ، وَلَعَنَ اللهُ مَنْ غَيَّرَ الْمَنَارَ
Yang bermaksud: Allah SWT melaknat barangsiapa yang menyembelih binatang bukan kerana Allah, dan melaknat siapa yang melindungi pelaku kesalahan, dan melaknat siapa yang melaknat ibu bapanya dan melaknat siapa yang mengalihkan tanda sempadan tanah
Sahih Muslim, Hadis no 1978
Hadis diriwayatkan oleh Said bin Zaid
مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ
Yang bermaksud: Barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan harta miliknya, maka dia mati syahid, barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya, maka dia mati syahid, barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan darahnya maka dia mati syahid dan barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka dia mati syahid
Sunan Imam Turmizi, hadis no 1421
Hadis diriwayatkan oleh Abi Hurairah
مِنْ عَلَامَاتِ الْمُنَافِقِ ثَلَاثَةٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
Yang bermaksud: daripada tanda-tanda orang munafiq ada tiga, 1. Apabila berkata dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberikan Amanah maka dia khianat
Sahih Muslim, hadis no 108
Nota 2:YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman meninggal dunia di Makkah selepas menjadi tetamu Allah SWT untuk menunaikan ibadah haji pada 1889. Beliau disemadikan di bumi para Nabi, Rasul dan sahabat-sahabat Rasulullah SAW.
Nota 3: Allah SWT sudahpun memberi petunjuk siapa yang benar dalam Perang Bukit Putus melalui pengakhiran hidup yang sangat berbeza antara YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman dengan YAM Tuan Antah. Seorang tokoh dimuliakan dan disemadikan di tanah para kekasih Allah Yang Maha Adil, manakala seorang lagi tokoh menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan amat menyedihkan.
Nota 3: Nilaikanlah petunjuk ini. Semoga dosa-dosa mereka yang terbabit Perang Bukit Putus diampunkan Allah Taala.
Wallahualam bissawab.
Sumber penceritaan:
1. Perjanjian YAM Tuan Seri Menanti dan YTM Dato’ Undang Yang Empat pada 29 April 1898
2. The War with Yam Tuan Antah, J.M Gullick, Mei 1954
3. War in Negeri Sembilan, Tharumaratham Chelliah, 1955
4. Dato’ Kelana Syed Abdul Rahman, Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu Jilid 4
5. Luak Tanah Mengandung, Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri, 1994
6. Perang Bukit Putus, Facebook Lembaga Muzium Negeri Sembilan, 23 April 2020